ARKIB : 31/10/2001
SELEPAS berjaya mengemudi
pasukannya bertarung sehingga ke pentas yang terakhir, ketua pasukan bola sepak
Terengganu, Zulharisam Awang yakin dan berjanji untuk membawa pulang Piala
Malaysia ke Kuala Terengganu, lapor MOHD. LAZIM ENDUT.
Kali ini, dia tidak lagi
dibayangi oleh sesiapa dan mengimpikan skuad ini akan sentiasa dikenang untuk
satu tempoh yang panjang.
Meskipun tugas kali ini amat
mencabar, namun pemain berusia 26 tahun yang ditugaskan berkawal di posisi bek
tengah ini mengharapkan rakan-rakannya mampu menggerakkan sentuhan penyudah
yang berkesan.
Bagi pemain tinggi lampai ini,
hanya penyudah berkesan dengan menepati sasaran sahaja mampu menghukum pasukan
Perak dalam pertemuan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium
Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
``Itulah senjata penting kami
dan saya percaya rakan-rakan lain, khususnya mereka yang berada di posisi
penyerang mampu. Pertemuan kali ini cukup mendebarkan.
``Bagi saya, inilah peluang
terbaik dan saat paling manis untuk dikenang serta sukar dilupakan dalam
kerjaya saya sebagai pemain bola sepak negeri,'' ujarnya.
Zulharisam mula menyarung jersi
Terengganu sejak tahun 1996, namun ketika itu dia masih dibayangi oleh kelibat
pemain senior seperti Syamsul Saad dan Azman Ismail.
Malah ketika pertemuan akhir
menentang Perak pada tahun 1998, pemain ini hanya berada di bangku simpanan
sambil melihat rakan-rakannya mengakhiri perlawanan sebagai naib juara.
``Bermula saat itulah saya
menanam suatu azam untuk kembali semula ke pentas akhir Piala Malaysia dengan
membawa pulang piala idaman itu ke negeri Terengganu,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bmhXFuW9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan