Ahad, 19 Mac 2017

Musnahnya impian Perak - Sapian pastikan buruan Terengganu selama 80 tahun berhasil


 

ARKIB : 04/11/2001
Pemain Terengganu meraikan kejayaan merangkul Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah penyertaan mereka sejurus tamat perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

DUA gol dalam tempoh tiga minit pada babak kedua menerusi Rosdi Talib dan Sapian Wahid memastikan Terengganu menafikan hasrat penyandang juara, Perak untuk menyimpan Piala Malaysia buat tahun kedua berturut-turut dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kejayaan Terengganu sekali gus menamatkan penantian 80 tahun mereka untuk menjulang trofi paling berprestij itu sesudah mencuba tiga kali pada 1973, 1982 dan 1998.

Terengganu ketinggalan 0-1 pada babak pertama menerusi rembatan kencang Mohd. Rafdi Rashid pada minit ke-17 tetapi Rosdi menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti minit ke-56 dan Sapian menjaringkan gol kemenangan, minit ke-59.

Beraksi di hadapan kira-kira 90,000 penonton, kedua-dua pasukan bermain agak gugup pada babak awal permainan sebelum mendapat rentak selepas memasuki suku jam.

Perak yang memiliki lebih pengalaman pada pentas akhir berbanding Terengganu, nyata gagal mengulangi kejayaan mereka musim lalu ketika Terengganu jelas lebih konsisten sepanjang kempen Liga Perdana dan Piala Malaysia, musim ini.

Aksi di padang semalam nyata menggambarkan kekecewaan Perak biarpun Rafdi, penyerang berusia 23 tahun yang beraksi untuk Kedah musim ini, tetapi dipinjam Perak untuk kempen Piala Malaysia, menceriakan penyokong Seladang dengan gol pembukaannya.

Rafdi yang menerima hantaran Chan Wing Hoong dari sebelah kiri sebelum mem-buat rembatan leret padu dari jarak 30 meter melepasi celah kaki pertahanan Terengganu, Abdul Ghani Malek ke penjuru kanan gawang.

Penjaga gol Penyu, Zubir Ibrahim melayangkan badan dan sempat menepis percubaan itu, tetapi bola pantas menerjah gawang untuk Perak mendahului 1-0.

Terengganu sebelum itu berpeluang untuk menghasilkan gol menerusi pemain bawah 23 kebangsaan, Hairuddin Omar dan Faziallah Mamat pada minit ketiga dan keenam, tetapi penjaga gol Perak, Azlisham Ibrahim lebih tangkas mengawal gawangnya.

Perak bangkit daripada dua kejutan itu dan menyusun serangan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan sayap kanan, Azrul Amri Burhan.

Perak seharusnya mampu menambah gol kedua pada minit ke-30 tetapi Azrul bertindak sebelum diasak Rosdi.

Bagaimanapun, Terengganu bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada babak kedua untuk mendahului 2-1.

Penyerang Wan Rohaimi Ismail dijatuhkan dalam kotak penalti oleh K. Nantha Kumar pada minit ke-56 dan pengadil perlawanan, Ahmad Khalidi Supian menunjukkan isyarat ke titik penalti untuk Terengganu.

Rosdi tidak mensia-siakan peluang menyamakan kedudukan dengan merembat kencang ke arah kanan gawang Perak ketika Azlisham melompat ke kiri.

Perak bagaikan terpaku dengan jaringan itu dan kesempatan tersebut digunakan Terengganu untuk terus mengasak kubu Perak dan hasilnya, Sapian menggegarkan jaring Seladang buat kali kedua dengan rembatan leret dalam kotak penalti.

PERAK: Azlishan Ibrahim, A. Victor, Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, Azrul Amri Burhan (Norizam Ali Hassan), Indraz Putra Mahayudin, Syamsul Saad (Faizal Zainal), K. Nanthakumar, Mohd. Rafdi Rashid, Khalid Jamlus.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Subri Sulong, Abd. Ghani Malek, Mohd. Nafuzi Zain (Nor Fazly Alias), Sapian Wahid (Alfian Aziz), Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail, Zulharisam Awang, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat, Hairuddin Omar (Shahrulnizam Sahat).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmyC5u2M

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan