Selasa, 13 Disember 2016

Masa depan Terengganu cerah - Obermann

ARKIB : 27/12/1999
TERENGGANU mempunyai masa depan cerah dalam arena bola sepak negara kerana mempunyai ramai pemain berbakat yang akan menerajui pasukan itu masa depan.

Ketua jurulatih belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Holger Obermann berkata, Terengganu telah melahirkan ramai pemain muda berbakat dan antaranya mewakili pasukan remaja kebangsaan.

''Sekarang terdapat nama-nama seperti Mohd Syamsi Mustapha, Tengku Alias Ibrahim dan Zairol Anuar Zailani dalam pasukan remaja kebangsaan,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Akademi Bola Sepak 1999 di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, selain itu terdapat juga beberapa pemain bola sepak Terengganu terpilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Obermann yang mewakili FAM menyampaikan piala sumbangan bekas pemain bola sepak terkemuka Jerman, Franz Beckenbauer kepada Pengarah Akademi Bola Sepak Negeri Terengganu Cheku Marzuki Mohd Nor.

Ini kali kedua Akademik Bola Sepak Negeri Terengganu dipilih sebagai pemenang anugerah itu. Kali pertama tahun 1997.

Obermann yang menamatkan kontraknya dengan FAM dan akan meninggalkan negara ini bulan ini berkata Terengganu mampu menguasai bola sepak negara sekiranya pemain-pemain yang ada diberikan latihan dan bimbingan berterusan.

Beliau berkata, pemilihan Terengganu sebagai pemenang anugerah itu tahun ini dinilai dari segi perlawanan, prestasi pemain, kualiti kejurulatihan, pentadbiran dan juga keselamatan akademi itu sendiri.

Sementara itu, Cheku Marzuki berkata Akademi Bola Sepak FAM/Adidas Negeri Terengganu ditubuhkan pada Mei 1995 dan kini mempunyai 30 peserta daripada pelajar tingkatan satu hingga lima.

Beliau berkata para peserta akademi banyak didedahkan untuk kejohanan-kejohanan Piala Nike, Coca Cola, Milo dan Piala Presiden. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SnKyh3e6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan