Jumaat, 17 Mac 2017

Terengganu lebih bersemangat

ARKIB : 28/04/2001
Oleh: ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
SELEPAS mengharungi enam perlawanan, tiga pasukan teratas - Terengganu, Pulau Pinang menampakkan tanda awal untuk terus menguasai kedudukan itu.

Begitupun skuad penyu dilihat lebih bersemangat untuk mencipta kebangkitan.

Meskipun masih terlalu awal, kesungguhan ketiga-tiga pasukan dengan Terengganu menguasai kedudukan teratas tetap mencetus rasa bimbang terhadap lawan mereka malam ini.

Selepas menewaskan Sarawak 3-0, Terengganu yang mengumpul 16 mata pasti mencemaskan Perlis (9 mata) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Terengganu yang dipimpin jurulatih Mat Zan Mat Aris itu sudah pasti mahu mengekalkan kemenangan berterusan bagi memenuhi impian merampas gelaran juara liga Perdana Satu tetapi Perlis yang mendapat suntikan jurulatih Tajudin Nor tidak semudah disangka.

Pulau Pinang berkongsi 16 mata bersama Terengganu yang juga juara Sumbangsih tetapi terpaksa akur dan untuk berada di tangga kedua menerusi perbezaan gol.

Pasukan Pulau Mutiara itu dijangka tidak menghadapi tugas berat berdepan dengan pasukan tercorot Johor meskipun beraksi di Stadium Tan Sri Haji Hassan YUNOS, Larkin.

Bersesuaian dengan gelarannya `Harimau Kumbang', Pulau Pinang tidak boleh memberi alasan melainkan kemenangan untuk mengekalkan kedudukan selesanya atau merampas tangga teratas.

Kelantan dengan 11 mata di tangga ketiga turut mengintai peluang. Begitupun mereka perlu menyelesaikan perhitungan menentang penghuni tangga kesembilan, Kuala Lumpur.

Kekalahan 0-2 kepada Selangor bukannya penghalang jurulatih K. Rajagopal untuk memastikan Kelantan, dengan barisam pemain muda mencari penawar dengan kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohd. Ke IV, Kota Bharu.

Di Stadium Perak, juara Piala Malaysia 2000, skuad seladang yang menduduki tangga ke-10 dengan mengumpul enam mata perlu berusaha untuk mengembalikan keyakinan penyokong mereka dengan mencatat kemenangan ke atas Sarawak.

Bagi Sarawak, bermain di gelanggang lawan tidak akan melemahkan semangat mereka untuk memenuhi hajat membawa pulang mata penuh bagi mengubat kekecewaan selepas kalah kepada Terengganu.

Melaka dan Pahang, yang tewas Selasa lalu berusaha mencari kemenangan di Stadium Darulmakmur, Kuantan.

Kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan Melaka di tangga kedua tercorot sementara Pahang di kelompok ketujuh selepas tewas kepada Pulau Pinang 1-2.

Negeri Sembilan di tangga keenam berdepan dengan bahaya apabila bertemu Selangor, yang mencatat kemenangan sulung dengan meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan.

Yang pasti, kesemua 12 pasukan dalam Perdana Satu bakal menghidangkan aksi menarik hari ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4baWP3iw9

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan