ARKIB : 11/09/2000
JOHOR FC dan Terengganu mencatat keputusan 3-3 di Stadium Pasir Gudang
semalam sekali gus mencerahkan peluang untuk menempah tiket ke suku akhir bola
sepak Piala Malaysia.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun menerima kejutan awal pada minit kedua lagi
akibat kealpaan barisan pertahanan yang membiarkan Abd. Ghani Malik
berseorangan dalam kotak penalti tanpa dicabar oleh pemain pertahanan Johor FC.
Akibatnya, Abd. Ghani Malik tidak melepaskan peluang membuat sepakan deras
yang menyaksikan bola melepasi jangkauan penjaga gol Johor FC, Shamsul Sabtu
walaupun dia merebahkan badan.
Walaupun Johor FC ketinggalan satu gol, para pemain kelab itu tetap tenang
mengatur gerakan ke arah kubu lawan untuk mencari gol penyamaan.
Pada separuh masa kedua, Johor FC berusaha mencari gol penyamaan dengan
melancarkan serangan awal ke kubu pasukan Terengganu.
Pada minit ke-59, Ahmad Norhapiza Bashri yang menerima hantaran cantik
daripada Hamzani Omar telah melepaskan sepakan deras gagal diselamatkan oleh
penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim.
Gol penyamaan itu memberi semangat kepada Johor FC untuk mencipta sejarah
melangkah ke suku akhir dan pada minit ke-67, Mohd. Khaidir Mohd. Dom menanduk
masuk kegawang selepas menyambut baik sepakan sudut Shamsul Sulaiman.
Terengganu bangkit mengasak bertubi-tubi mencari gol penyamaan dan pada
minit ke-75, Zairo Anuar Zailani yang membuat percubaan dari jarak jauh berjaya
menewaskan penjaga gol, Shamsul Sabtu.
Pada minit ke-80, Abd. Ghani Malik sekali lagi menambah gol Terengganu
untuk mendahului Johor FC selepas membuat tendangan kencang selepas menerima
hantaran yang cantik daripada Zairol Anuar.
Johor FC tetap berusaha mencari gol penyamaan dan pemain gantian, Mohd.
Shukri Ismail membuatkan penyokong tuan rumah ceria apabila menjaringkan gol
seminit sebelum permainan tamat.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b0hYhiSK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan