ARKIB : 18/07/2002
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
Jurulatih skuad Penyu, Mat Zan
Mat Aris mengakui pasukannya berdepan dengan cabaran getir mengharungi kempen
Piala Malaysia yang akan bermula 27 Julai ini dengan misi mempertahankan
gelaran juara.
Beliau keberatan memberi harapan
yang tinggi dan justeru meminta pemain memberikan komitmen sepenuhnya dalam
latihan memandangkan saingan yang akan diterima pastinya sengit.
Katanya, bagi sasaran pada
pusingan awal pertandingan beliau berharap Terengganu berjaya melayakkan diri
sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir.
``Peluang untuk kita pertahankan
kejuaraan tetap ada walaupun ia merupakan tugas yang amat berat. Sebagai juara
bertahan, kita merasa lebih tertekan berbanding pasukan lawan,'' katanya di
Kuala Terengganu, semalam.
Mat Zan turut mengingatkan para
pemain agar tidak mengambil mudah kempen Piala Malaysia kerana ia akan menjadi
penghalang kepada skuad Penyu mempertahankan kejuaraan.
``Saya meminta semua pemain tidak
mengambil mudah dalam pertandingan ini. Sikap sebegini perlu dijauhkan kerana
ia boleh menjadi penghalang kepada kita untuk memberi persembahan terbaik,''
katanya.
Sementara itu beliau mengakui
persembahan skuad Terengganu kurang konsisten dalam Liga Perdana tetapi ini
bukannya satu petunjuk yang skuad bimbingannya berada di ambang kemerosotan.
``Saya percaya kita mampu pergi lebih
jauh dengan syarat para pemain tidak mengambil mudah kerana suasana
pertandingan berbeza daripada Liga Perdana dan Piala FA,'' katanya lagi.
Apabila ditanya mengenai
kecergasan para pemain skuad Penyu ketika ini, Mat Zan memberitahu pemain utama
skuad itu, Hairuddin Omar dan rakan-rakannya yang lain bebas daripada sebarang
kecederaan.
``Saya gembira dengan keadaan ini
kerana saya mempunyai peluang membentuk satu pasukan yang kuat bagi menghadapi
kempen Piala Malaysia kali ini,'' tambahnya.
Terengganu diundi dalam Kumpulan
B yang dianggap mudah bersama Pulau Pinang, Melaka dan Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ).
Musim lalu, Terengganu muncul
juara Piala Malaysia selepas menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan akhir.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cEbTK1GL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan