Jumaat, 2 Disember 2016

Terengganu singkir P. Pinang

ARKIB : 05/05/1999
JUARA Liga Perdana musim lalu, Pulau Pinang gagal ke suku akhir bola sepak Piala FA sekalipun menang 2-1 ke atas Terengganu dalam perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Bandaraya, semalam.

Gol yang diperoleh Hasmawi Hassan pada minit ke-33 dan Mohd. Badrisham Kadir (61) masih gagal menyekat Terengganu daripada memiliki kelebihan agregat 5-3.

Sebaliknya, Terengganu yang hanya berbekal satu gol jaringan Rosdi Talib pada minit ke-62 melangkah selesa ke suku akhir selepas menang 4-1 pada pertemuan pertama.

Tanpa gerakan berbahaya, aksi hambar mengiringi permulaan babak pertama yang menyaksikan Pulau Pinang tidak menurunkan penyerang utamanya, Azman Adnan.

Dengan tugas selaku ketua pasukan disandang oleh Moey Kok Hong menggantikan Azman, Pulau Pinang jelas sukar untuk menembusi benteng Terengganu.

Namun kesempatan terhidang juga buat tuan rumah menerusi Ooi Hoe Guan tetapi rembatannya dalam kotak penalti Terengganu sekadar melepasi palang gol pada minit ke-28.

Akhirnya benteng pelawat tertewas juga apabila hantaran Woon Seang disudahi tolakan cantik Hasmawi Hassan yang menewaskan penjaga gol Terengganu, Zubir Ibrahim pada minit ke-33.

Jaringan itu menyemarakkan semangat Pulau Pinang untuk terus mengatur serangan bertali arus ke kubu Terengganu untuk menyamakan agregat.

Bagaimanapun gerakan tanpa penyudah kerap kali menghalang cubaan Pulau Pinang sebaliknya Terengganu memperoleh peluang hasil hantaran Anuar Jusoh namun Sapian Wahid pula gagal menyempurnakan kesempatan itu pada minit ke-59

Tuan rumah mengatur asakan balas yang menyaksikan Oi Hoe Guan melorong bola untuk Badrisham merembat kencang bagi menghampakan Zubir penjaga gol Terengganu pada minit ke-61

Keghairahan Pulau Pinang dibalas dengan serangan Terengganu yang menyaksikan Rosdi Talib membuat satu tendangan cantik menewaskan penjaga gol Azlisham, seminit kemudian untuk pasukan pelawat menjarakkan kedudukannya.

Sementara itu, Kuala Lumpur menebus kehampaan di Cheras dengan memintas Melaka untuk layak ke suku akhir apabila menang 3-1 di Stadium Kubu, Melaka, semalam.

Skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris dengan ini menang secara agregat 4-3 sekali gus kembali bernafas lega setelah hampa dalam perlawanan pertama di Cheras lalu, 1-2.

K. Hemadass muncul wira yang mengesahkan kemaraan Kuala Lumpur itu apabila menjaringkan gol ketiga sambil rakannya, Farid Dewan bertindak cemerlang memecahkan kedudukan terikat agregat dengan gol kedua.

Hemadass menyudahkan peluang yang muncul hasil kesilapan salah seorang pemain pertahanan lawan, Mior Mohamad Nasir yang gagal mengawal bola dengan kemas.

Melaka bagaimanapun membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi Rahudin Kasmani yang bergerak secara solo selepas mengutip umpanan K. Rajan.

Rahudin yang berhadapan satu sama satu dengan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd. Affendi Kamshah, mudah menewaskannya untuk gol Melaka.

Namun pelawat kembali bangkit untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua apabila Amir Nur Hakim memanfaatkan keadaan kucar-kacir depan gol Melaka.

Kuala Lumpur kian menjarakkan kedudukan sambil mara dengan bergaya ke suku akhir setelah tangkapan bola oleh penjaga gol Melaka, Zainal Rabin terlucut lalu disambar Farid Dewan untuk gol kedua.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Rgej975a © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan