ARKIB : 06/11/2001
ORANG ramai mengambil kesempatan
menghulurkan derma menerusi tabung bantuan pemain Terengganu selepas kejayaan
menjuarai Piala Malaysia, di perkarangan pejabat Peteh, Kuala Terengganu,
semalam.
Oleh Mohd Lazim Endut
FORMULA Terengganu yang secara
terbuka tidak menjanjikan sebarang ganjaran kepada para pemainnya jika
menjulang Piala Malaysia 2001 merupakan antara faktor utama yang membantu
pasukan ini mencapai kemenangan bersejarah.
Kemenangan yang akhirnya
digapai sebenarnya juga tidak membuka peluang untuk mudah menabur janji habuan.
Sambil menafikan laporan mengatakan habuan RM10,000 menanti pasukan Penyu, Yang
Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh
berkata, soal itu tidak pernah diucapkan.
``Sejak di awal musim sehingga
hari ini (semalam), saya tidak pernah bercakap soal ganjaran. Saya tidak tahu
menahu darimana mereka mendapat sumber berita itu.
``Pada saya apa yang penting
diterapkan kepada pemain ialah semangat jitu untuk ber-juang, bukan material
yang boleh memerangkap kerjaya me-reka,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Menurut Che Mat, sebaik
menandatangani kontrak ber-sama pasukan Terengganu, semua pemain telah diminta
supaya usah terlalu memikirkan soal ganjaran sekiranya ingin muncul sebagai
seorang pemain berwibawa.
Katanya, perkara ini terbukti
apabila setiap pemain mampu menunjukkan aksi cemerlang melalui semangat yang
jitu, sehingga mereka berjaya menewaskan Perak 2-1 untuk membolehkan Piala
Malaysia di bawa pulang ke Terengganu.
``Kemenangan ini amat
membanggakan walaupun ada pihak yang cuba membandingkan dengan pemain pasukan
Perak yang ditawarkan ganjaran sebanyak RM50,000.
``Tanpa disedari tawaran
seperti ini merupakan `perang saraf' yang agak merugikan kerana ia melibatkan
psikologi para pemain, khususnya bagi pasukan yang pernah menabur janji,'' ujar
beliau.
Che Mat memuji para pemainnya
kerana mampu menghadapi `perang saraf' itu dengan mengekalkan semangat yang
kental dan jitu untuk terus berjuang mencari kemenangan secara mutlak
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bn1WZcE6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan