Ahad, 19 Mac 2017

Jaringan minit ke-59 sudah cukup

ARKIB : 05/11/2001
HANYA beberapa minit selepas menjaringkan gol kedua Terengganu kelmarin, Sapian Wahid terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan paha.

Tetapi jaringannya pada minit ke-59 itu sudah cukup untuk membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia dengan kemenangan 2-1 ke atas Perak dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

``Sebenarnya saya bermain di bawah kecergasan sebenar,'' kata wira skuad Penyu itu. ``Saya mengalami kecederaan ini (paha kanan) sejak peringkat suku akhir. Oleh itu, jaringan ini amat bermakna kepada diri saya.''

Sapian, 27, yang mula menyertai skuad Penyu sejak 1998 pernah dianggap oleh bekas jurulatih Sarawak, Alan Vest sebagai pakar tandukan.

Kelmarin, dia membuktikan kepalanya sekali lagi menjadi senjata, tetapi dengan gaya berbeza.

Dengan menggunakan kepala, dia mengawal bola hantaran jauh sebelum melepaskan rembatan leret dari sudut kecil di sebelah kanan untuk menumpaskan penjaga gol, Azlisham Ibrahim.

Empat minit sebelum itu, rakannya di bahagian pertahanan, Rosdi Talib menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan Terengganu gol penyamaan setelah Mohd. Rafdi Rashid meletakkan Perak di depan pada babak pertama perlawanan.

Sapian nyata puas dengan jaringan itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bn0DCmrc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan