Pemain-pemain Terengganu
menjulang Pengurus Pasukan Terengganu, Che Mat Jusoh selepas mereka menjuarai
Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
malam kelmarin. - Gambar Abd. Rahman Saleh .
HARI pertama kempen bola sepak Perdana
Satu menyaksikan semua pasukan tuan rumah terselamat tetapi Terengganu mencipta
kejayaan lebih bergaya apabila merangkul Piala Sumbangsih.
Kejayaan Terengganu juga menjadi
kenangan manis kepada jurulatih, Mat Zan Mat Aris selepas mencipta kejayaan
serupa dengan Kuala Lumpur tahun lepas.
Terengganu, bekas juara Piala FA
tahun lepas, merangkul Piala Sumbangsih selepas menumpaskan juara Piala
Malaysia, Perak 4-0 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
kelmarin.
Kemenangan itu juga bermakna Mat
Zan tidak pernah kempunan piala sejak 1999 apabila membimbing bekas pasukannya,
Kuala Lumpur menjulang Piala FA.
Namun, bagi Mat Zan, yang penting
ialah Terengganu cepat pulih daripada kekecewaan tersingkir daripada di
pusingan ketiga pertandingan Piala FA kepada Johor FC untuk mencatatkan
kemenangan besar ke atas Perak.
``Kemenangan ini sudah tentu
melegakan kita kerana Perak menurunkan semua pemainnya termasuk Ahmad Shahrul
(Azhar) dan Azrul (Amri Burhan),'' katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu
semalam.
Ahmad Shahrul tidak bermain
sebelum ini kerana beraksi dengan pasukan kebangsaan sementara Azrul digantung
perlawanan. Sementara itu, bekas juara berganda, Johor masih belum pulih
daripada prestasi yang merudum teruk sejak tahun lepas apabila sekadar seri 0-0
dengan Kelantan.
Pulau Pinang pula gagal
melunaskan dendam ke atas Selangor, pasukan yang menyingkirkan mereka ke tangga
kedua pada hari terakhir liga tahun lepas. Malah, skuad Harimau Kumbang hampir
kempunan mata apabila ketinggalan sebaik sahaja babak kedua bermula, tetapi
diselamatkan oleh jaringan penyamaan S. Nanthakumar untuk seri 1-1.
Kecuali, Pulau Pinang dan Johor,
pasukan tuan rumah lain nampak gagah apabila menggunakan kesempatan untuk
merebut tiga mata di gelanggang sendiri. Perlis, yang hampir menyingkirkan
Selangor dari saingan Piala FA, nampak gagah di gelanggang sendiri apabila
mengutip mata penuh dengan menumpaskan Kuala Lumpur 1-0 dan Sarawak turut
menewaskan Melaka dengan jumlah jaringan yang sama.
Namun, Pahang yang menduduki
tangga ketujuh tahun lepas, mencuri tumpuan apabila makan - menumpaskan naib
juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan 6-2
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bZKtXnJ5©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan