ARKIB : 09/07/2001
TERENGGANU perlu diberi
suntikan baru selepas mulai lumpuh bagi membolehkannya kembali bangkit dan
mengembalikan reputasi setelah menerima dua kekalahan berturut-turut dalam
mengharungi persaingan pusingan kedua bola sepak Liga Perdana, lapor MOHD.
LAZIM ENDUT.
Kekalahan 1-2 kepada Perak
serta tumpas dengan jumlah jaringan sama kepada Kelantan di gelanggang sendiri
kelmarin meletakkan kekuatan pasukan Penyu kini semakin goyah dan mesti
diperkemaskan segera.
Walaupun perjuangan masih
panjang, anak buah Mat Zan Mat Aris seharusnya mampu mempamerkan persembahan
secara konsisten dan tidak mudah hanyut dibuai mimpi di sebalik kecemerlangan
menduduki tangga teratas pada pusingan pertama liga.
Kecundang di tangan Kelantan
dan menduduki tangga kedua liga, dilihat sebagai parah yang mula terpalit,
apatah lagi kegagalan meraih jaringan besar ketika menentang Melaka, pada
pusingan pertama dengan jaringan 1-0 dilihat sebagai amaran sebelum ini.
Berikutan itu, rekod tanpa
kalah Terengganu turut lebur di tangan pasukan kurang bermaya, Johor, sekali
gus menyaksikan benteng pertahanan Penyu kian longgar dan terkulai.
Malah ketika turun beraksi
menentang Kelantan kelmarin, persembahan Terengganu langsung tidak bermaya dan
menyebabkan anak buah K. Rajagopal bagaikan helang kelaparan, terus mencari
ruang sasar ke gawang Terengganu.
Kesempatan itu telah membuka
ruang kepada pemain muda Kelantan, Fatrurazi Rozi untuk menjaringkan dua gol
untuk membantu kemenangan mutlak pasukannya.
Che Mat yang juga Presiden
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagaimanapun mengaku,
persembahan pemain kelmarin, masih lemah.
``Kita telah mengenal pasti
kelemahan yang ada dan apa yang diharapkan perkara ini tidak akan berulang
ketika beraksi menentang Negeri Sembilan selasa ini,'' ujar beliau selepas
tamat perlawanan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4bhMj1E4p
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan