ARKIB : 25/10/1998
DUA gol jaringan penyerang
import dari Liberia, Samuel Chebli mencerahkan peluang Terengganu untuk mara ke
separuh akhir apabila menewaskan Kedah 2-0 pada perlawanan pusingan kedua Piala
Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam, lapor YUSRI SAHAT.
Sebaliknya Kedah, yang
mengalami kekalahan ketiga berturut-turut di gelanggang sendiri menutup
peluangnya untuk mara.
Begitupun, Terengganu terpaksa
turun seketika di tangga kedua dalam kumpulan A selepas Negeri Sembilan
menjinakkan Pulau Pinang 4-1 di Seremban.
Babak awal permainan menyaksikan
Terengganu lebih banyak menguasai permainan sekalipun bermain di hadapan
kira-kira 2,000 penyokong setia Kedah.
Kedah yang bagaikan Kenari
kepatahan sayap seringkali menghadapi saat-saat getir di kubu pertahanannya
apabila kombinasi penyerang import Terengganu, Chebli dan Seidu Issifu bertali
arus menggugat pertahanan Kedah.
Kedah pula sewajarnya
mengucapkan terima kasih kepada S. Ragesh yang bekerja keras menjaga gawang
walaupun kecundang dua kali pada minit ke-28 dan 74.
Kedah hanya memperoleh satu
peluang terbaik untuk mengekang kemaraan Terengganu pada minit ke-20 menerusi
tandukan kencang Mohd. Farouk Ismail hasil sepakan penjuru Radhi Mat Din,
terkena palang.
Terengganu melakukan percubaan
buat pertama kalinya bagi menguji kecekapan S. Ragesh pada minit ketujuh dengan
melakukan larian solo ke arah gawang namun sepakan kencangnya sekadar melepasi
palang.
Tuan rumah membalas asakan pada
minit ke-12 dengan satu sepakan kencang yang dilakukan oleh Zulfatah
Dzulkarnain tetapi ditampan oleh penjaga gol, Zubir Ibrahim.
Penantian skuad Penyu yang
dahagakan kemenangan itu terjawab juga selepas berjaya memecah kebuntuan untuk
gol pertama menerusi Samuel Chebli pada minit ke-28.
Gol berpunca melalui satu
sepakan lambung yang dilakukan oleh Rosdi Talib ke kawasan gawang bagi memberi
ruang kepada Chebli menewaskan S. Ragesh melalui tandukan kencangnya.
Menyedari ketumpulan barisan
serangan, jurulatih Kedah, Fisol Razak bertindak mengeluarkan Sariman Omar dan
memasukkan bekas penyerang kebangsaan, Che Zambil Ahmad pada babak kedua.
Pasukan pelawat terus bertindak
garang seawal babak kedua bermula menerusi penyerang, Issifu yang melakukan
sepakan kencang kaki kirinya dari jarak 35 meter yang menggegarkan palang.
Kemasukan Che Zambil tidak
memberi sebarang makna sebaliknya Kedah tambah nazak selepas gawangnya dibolosi
buat kali kedua pada minit ke-74 oleh Chebli yang mendapat hantaran lintang
dari pemain gantian, Mohd. Nazreen Tee.
Dengan permainan berbaki tujuh
minit lagi, Kedah yang bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, terpaksa bermain
dengan sepuluh pemain apabila Andre Luis Nascimento diarah keluar padang
selepas mengkasari Zulharizam Awang.
KEDAH: S. Ragesh, Mohd. Sofi
Md. Isa (Tan Gim Hong), Kane Mamadou Mariyam, Mohd. Farouk Ismail (Anuar Abdul
Aziz), Cheah Kean Seng, Andre Luis Nascimento, Zulfatah Dzulkarnain, Mohd.
Feriza Ismail, Rafiz Abu Bakar, Sariman Omar (Che Zambil Ahmad), Muhd. Radhi
Mat Din.
TERENGGANU: Zubir Ibrahim,
Zulharizam Awang (Mustaffa Kamal), Syamsol Mohd. Saad, Badrul Hisham Abdullah,
Badrul Afzn Razali (Baharuddin Ali), Seidu Issifu, Samuel Chebli, W. Ahmad
Ridzuan Hussein (Mohd. Nazreen Tee), Rosdi Talib, Jean Nyima, Mohd. Noor Derus.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4P8BYxbSG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan