ARKIB : 21/03/2002
Oleh: MOHD LAZIM ENDUT
TERENGGANU masih gagal
menghiburkan penyokong sendiri meskipun mencipta kemenangan 4-0 ke atas NS Chempaka
dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah, Kuala Terenggan kelmarin.
Sepanjang tempoh 90 minit
perlawanan berlangsung, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris dilihat seringkali
kehilangan punca dengan melakukan banyak kesilapan terutama ketika membuat
hantaran kepada rakan.
Malah rentak perlahan yang
dipamerkan oleh para pemain skuad juara Piala Malaysia itu seolah-olah
membayangkan ada sesuatu masalah tersembunyi yang perlu dirungkaikan segera
oleh pengurusan pasukan.
Jurulatih Penyu, Mat Zan Mat Aris
ketika mengulas perlawanan tersebut mengakui bahawa para pemainnya masih gagal
menunjukkan aksi terbaik sepertimana pernah dilakukan tahun lalu.
Pada masa yang sama jurulatih itu
tidak mahu Terengganu dianggap sebagai pasukan `yo-yo' dengan persembahan yang
tidak menentu.
``Kita mahukan kemenangan secara
berterusan. Para pemain perlu mengekalkan prestasi cemerlang sehingga ke
penghujung musim,'' katanya selepas perlawanan itu kelmarin.
Terengganu memperoleh kemenangan
menerusi jaringan Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-15, Seidu Issifu (44),
Hairuddin Omar (47) dan Rosdi Talib (65).
Menurut Mat Zan, dalam perlawanan
kelmarin strategi yang dilakukan sedikit menjadi apabila mengubah posisi pemain
dengan meletakkan Hairuddin Omar di sa-yap kiri dan Seidu Issifu di bahagian
tengah.
``Walaupun gandingan ini masih
belum serasi, saya percaya mereka mampu menunjukkan corak permainan secara
berpasukan yang lebih mantap bagi mencipta kemenangan.
``Saya harap mereka dapat
mengulangi kemenangan apabila bertemu Pahang, Sabtu ini. Kita tetap berwaspada
dengan skuad Tok Gajah yang tewas 0-2 kepada Johor FC, kelmarin,'' ujar beliau.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4by3hfMP8©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan