Ahad, 19 Mac 2017

Mat Zan dalam dilema

ARKIB : 08/11/2001
KEJAYAAN seorang jurulatih bola sepak yang dapat membantu pasukannya menjulang mana-mana piala termasuk Piala Malaysia, bukanlah tiket sebenar yang boleh menjamin kehidupan mereka pada masa akan datang.

Sebagai jurulatih, pendapatan yang diterima adalah tidak tetap kerana ia hanya bergantung kepada tawaran kontrak secara bermusim, mengikut prestasi setiap pasukan yang dibimbing.

Berdasar perkara itulah, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris masih di ulit resah sekiranya hasrat untuk kekal bersama pasukan Penyu sekurang-kurangnya satu musim lagi terbantut sekiranya gagal menyambung cuti tanpa rekod. ``Jiwa saya tetap mengatakan ingin terus berjuang bersama Terengganu, tetapi saya khuatir permohonan untuk menyambung cuti akan ditolak,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Bekas jurulatih Kuala Lumpur yang berjaya membawa pasukan Penyu menjulang Piala Malaysia 2001 setelah menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu berada dalam dilema kerana tempoh cutinya akan berakhir Disember ini.

Setakat ini, beliau belum menghantar permohonan secara rasmi kepada majikannya, Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyatakan hasrat itu kerana masih sibuk dengan program menjelajah Piala Malaysia bersama peminat.

Mat Zan yang bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan dan Pelancongan DBKL benar-benar mengharapkan majikannya dapat memberi pelepasan untuk membolehkan dia terus berkhidmat dengan pasukan Penyu.

``Sekiranya permohonan saya ditolak, saya terpaksa memikirkan satu alternatif lain sebelum membuat sebarang keputusan,'' ujarnya yang mula berkhidmat dengan pasukan Penyu awal musim ini bagi menggantikan Yunus Aliff.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4bp9sBo65

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan