ARKIB : 19/01/2002
Oleh MOHD LAZIM ENDUT
KETIKA bayangan pemain Selangor
sudah menjelma di Kuala Terengganu, jurulatih pasukan tuan rumah, Mat Zan Mat
Aris masih merahsiakan kesebelasan utamanya yang bakal diturunkan dalam
perlawanan sumbangsih yang menjadi pembuka tirai Liga Malaysia malam ini.
Malah sehingga lewat petang
semalam, bekas jurulatih Kuala Lumpur itu masih belum membuat pilihan tepat
kerana anak buahnya kini dikatakan memiliki standard permainan yang semakin
meningkat.
Sehubungan itu, Mat Zan memberi
amaran bahawa setiap pemain yang akan diturunkan nanti mampu mempamerkan aksi
menarik sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung.
``Kesemua pemain kini telah
memiliki `semangat Piala Malaysia' dan mereka berjanji untuk memastikan Piala
Sumbangsih terus kekal menjadi milik Terengganu.
``Perkembangan ini menyebabkan
saya terlalu sukar untuk membuat pilihan pemain. Saya hanya akan umumkan
senarai utama sebelum perlawanan bermula,'' katanya di Kuala Terengganu
semalam.
Menurut Mat Zan, walaupun
kesebelasan utama belum diumum, kesemua pemain sudah bersedia untuk menyahut
cabaran memusnahkan impian Red Giant yang terkenal sebagai gergasi bola sepak
negara.
Beliau meramalkan pertemuan
kedua-dua pasukan, juara Piala Malaysia dan juara Piala FA malam ini bakal
menjanjikan pertarungan sengit dan mencemaskan.
``Saya percaya benteng
pertahanan skuad ini mampu mengekang kelicikan bahagian serangan Selangor yang
dibarisi oleh pemain kebangsaan seperti Azman Adnan, Yusri Che Lah, Rusdi
Suparman dan Nizaruddin Yusoff,'' ujar beliau.
Mat Zan berkata, posisi
pertahanan Terengganu mungkin dikekalkan dengan Zulharisham Awang, Abdul Ghani
Malik bersama beberapa pilihan lain sama ada Subri Sulong, Rosdi Talib dan
Azali Mat Jusoh.
Katanya, manakala posisi tengah
pula, Terengganu memiliki banyak pilihan seperti Hairuddin Omar, Md. Marzuki
Yusoff, Rosli Md. Derus, Fadziallah Mamat, Md. Nafuzi Zain dan Rifaie Mat Ali.
``Begitu juga dengan posisi
serangan yang semakin menunjukkan persefahaman memuaskan di antara Wan Rohaimi
Ismail, Sapian Wahid, S. Paidiya Rao dan Seidu Issifu.
``Apa yang membanggakan ialah,
kebanyakan pemain tengah dan serangan skuad ini boleh bertukar posisi,'' ujar
beliau.
Barisan kemungkinan Terengganu:
Zuber Ibrahim, Rusdi Talib,
Abdul Ghani Malek, Zulharisham Awang, Subri Sulong, Hairuddin Omar, Rosle Md.
Derus, Azali Mat Jusoh, Marzuki Yusoff, Sapian Wahid dan Wan Rohaimi Ismail.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bqc3k3zS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan