Ahad, 19 Mac 2017

Mat Zan ingin kekal bersama Penyu

ARKIB : 05/11/2001
Oleh: MOHD LAZIM ENDUT
SETELAH berjaya membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia 2001, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris bercadang untuk terus kekal bersama pasukan Penyu untuk tempoh sekurang-kurangnya satu musim lagi.

Sehubungan itu, bekas jurulatih pasukan Kuala Lumpur ini akan membuat permohonan secara rasmi kepada majikannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyampaikan hasrat tersebut.

``Saya akan menulis surat kepada DBKL meminta supaya cuti saya dilanjutkan. Sekiranya permohonan ini gagal, saya terpaksa mencari alternatif lain sebelum membuat sebarang keputusan,'' katanya kepada Sukan Utusan semalam.

Mat Zan diberi tanggungjawab untuk melatih pasukan Penyu setelah mengambil alih tugas Yunus Alif yang terpaksa pulang ke pangkuan Pahang, awal musim ini.

Ketika mengambil alih tugas, Mat Zan berjaya meletakkan pasukan ini muncul sebagai juara Piala Sumbangsih, Juara Perdana Satu pusingan pertama dan Naib Juara Liga Perdana.

Kemenangan 2-1 ke atas Perak pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin turut meletakkan Mat Zan sebagai jurulatih pertama yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Terengganu.

Menurut Mat Zan, tempoh cutinya dengan DBKL selama satu tahun bagi membolehkan beliau melatih pasukan Penyu akan berakhir pada Disember ini.

Beliau ingin kekal bersama Terengganu kerana merasakan masih ada tugas dan tanggungjawab besar untuk memperbaiki mutu persembahan pasukan ini khususnya, di kalangan pemain baru.

Mengulas perlawanan malam kelmarin, Mat Zan berpendapat, pasukannya memang berhak untuk memenangi perlawanan tersebut memandangkan corak persembahan pemainnya lebih baik berbanding Perak.

Mat Zan berkata, melihat kepada aksi pemain khususnya pada minit awal babak pertama dan kedua perlawanan berlangsung beliau yakin pemainnya mampu menjaringkan gol kemenangan.




Smber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bn0mgF9U © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan