ARKIB : 28/08/2002
TERENGGANU gagal mempertahankan
kejuaraan bola sepak Piala Malaysia apabila tumpas kepada juara Piala FA, Pulau
Pinang 2-0 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam.
Sebaliknya Pulau Pinang ke suku
akhir bersama-sama tiga lagi pasukan - MPPJ Selangor, Sabah dan Pahang - selaku
empat pasukan terakhir mara ke persaingan kalah mati itu, mengiringi Selangor,
Public Bank, Kedah dan Perak yang layak lebih awal.
S. Sutesh meletakkan skuad
Harimau Kumbang pada laluan kemenangan menerusi jaringan gol pada minit ke-38
sebelum Zool Ihsan Yunus menambah gol kedua pada minit ke-63.
Pulau Pinang akan bertemu Perak
pada suku akhir, mengulangi perlawanan akhir Piala FA.
MPPJ Selangor pula menundukkan
Melaka 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka untuk menduduki tangga kedua dan
bertemu juara Kumpulan D, Kedah pada suku akhir.
Kedua-dua gol MPPJ dijaringkan
oleh Juan Manuel Arostegui (minit 20 dan 90). Melaka membalas menerusi Halim
Jantan (26).
Selangor pula muncul juara
Kumpulan C setelah menundukkan Public Bank 2-1 pada perlawanan di Stadium Shah
Alam.
Ivan Ziga mengejutkan tuan rumah
menerusi gol pada minit ke-36 sebelum Selangor membalas menerusi Aiman Wong
(45) dan Mohd. Fareed Shah Hassan (74).
Selangor akan bertemu naib juara
Kumpulan A, Pahang sementara Public Bank menentang Sabah.
Perlis mengutip kemenangan
pertama apabila menewaskan Kelantan 3-2 di Stadium Sultan Mohamad IV, di Kota
Bharu dalam perlawanan antara dua pasukan yang telah tersingkir.
Kedah pula menamatkan kempen
peringkat Kumpulan D dengan menang 3-2 ke atas NS Chempaka di Stadium Darul
Aman, Alor Setar. Skuad Kenari memperoleh gol menerusi Rafdi Rashid (21), Matar
Diop (24) dan Irwan Fadli Idrus (44). NS Chempaka membalas menerusi S. Jayaprakash
(31) dan R. Manivarman (50).
Juara Perdana Satu, Perak pula
kecundang 3-1 kepada Johor FC di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru untuk kekal
di tangga kedua Kumpulan D.
Perak menyamakan kedudukan pada
minit ke-56 menerusi Norizam Ali Hassan setelah Eddy Helmi Manan meletakkan
Johor FC di depan pada minit ke-41.
Namun, skuad tuan rumah
meninggkatkan asakan untuk menambah dua lagi gol menerusi Azni Ariffin (65) dan
Jonthon Angelucci (76).
Dalam Kumpulan A, Sabah
menghapuskan harapan Sarawak apabila menang 2-1 di Stadium Sarawak, Kuching.
Burhan Ajui menjaringkan gol
sendiri untuk Sarawak mendahului 1-0 pada minit pertama sebelum Sabah membalas
dengan dua jaringan menerusi L. Suresh (11) dan Zainizam Marjan (39).
Pahang memintas kedudukan tangga
kedua sekali gus layak ke suku akhir setelah menumpaskan Telekom Melaka 5-1 di
Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Gol-gol Pahang diperoleh menerusi
Ahmad Fadzli Shaari (14, 30), Melnikov Viacheslav (19, 61) dan Norhafiza Bashri
(85). Telekom memperoleh gol tunggal melalui Ramesh Lai Ban Huat (68).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cGFBHDEe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan