ARKIB : 16/04/2002
TERENGGANU tetap berazam untuk
membaiki kedudukannya dalam Liga Perdana Satu musim ini meskipun jalannya
dianggap masih berliku bagi juara Piala Malaysia 2001 itu.
Jurulatih Mat Zan Mat Aris
berkata, kemenangan 2-0 ke atas Melaka pada perlawanan pembuka tirai pusingan
kedua liga Sabtu lepas menyuntik lebih semangat kepada skuad Penyu untuk
mengulangi kejayaan itu ketika bertemu Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu
ini.
``Kita sedar jalannya agak
berliku tetapi dengan prestasi terkini yang ditunjukan pemain Terengganu, saya
tidak nampak mengapa kita tidak boleh kalahkan Selangor.
``Kita mahu berada di dalam
kelompok teratas liga dan misi ini akan kita laksanakan dengan sebaik
mungkin,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata walaupun
berhadapan dengan penyokong fanatik merah kuning di gelanggang lawan,
Terengganu tetap akan memberikan saingan sengit kepada Selangor.
Sambil melahirkan rasa gembira
dengan ``perubahan'' pasukan Terengganu selepas menerima banyak kekalahan dalam
pusingan pertama liga, bekas jurulatih Kuala Lumpur itu berkata peluang
Terengganu masih cerah untuk berada di puncak.
``Impian kita musim ini ialah
menjuarai Liga Perdana dan kami sedang menuju ke arah itu,'' katanya.
Mengenai perkembangan pemain
import Terengganu, Seidu Issifu, beliau berkata pemain berasal dari Ghana itu
belum menunjukan prestasi memuaskan sebagai pemain profesional.
Katanya kemasukan Issifu sebagai
pemain gantian ketika bertemu Melaka Sabtu lepas bukanlah bukti yang menunjukan
prestasinya sudah memuaskan kerana seorang pemain import perlu bermain sepenuh
masa.
``Dia masih belum mempamerkan
persembahan yang kita inginkan dan kita harap keadaan akan berubah jika dia
mahu diberikan peluang yang lebih ketika bersama Terengganu,'' katanya. -
Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4c8ZLNAm4©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan