ARKIB : 07/11/2001
Komentar Abdullah Ahmad
SUKAN seperti juga pendidikan
bukan sekadar bergantung kepada bakat - kedua-duanya memerlukan iltizam,
komitmen, pengorbanan serta cinta berahi (passion) terhadapnya.
Kalau sudah ada passion, dan
mahu pula nama terukir dan terkenal, tidak perlulah wang tunai, bintang dan
pingat, rumah dan tanah disogok sebagai hadiah.
Terpenting ialah minda dalam
membuat keputusan: Kita mahu jadi juara dan komitmen ke arah itu tidak boleh
berbelah bahagi.
Kemenangan pasukan bola sepak
Terengganu sebaik contoh bagaimana iltizam, komitmen dan `iman' (kepercayaan)
dan status underdogs boleh menewaskan pasukan Perak yang berada, berpengalaman
dan dijanji pelbagai sogokan yang bukan alang-alang.
Rakyat Terengganu telah
membanjiri bandar Kuala Terengganu menyambut kepulangan wira-wira mereka. Piala
Malaysia akan diarak ke seluruh negeri Terengganu setelah negeri itu menunggu
80 tahun untuk menjadi juara Piala Malaysia.
Yang menarik hati dan
memberangsangkan penulis ialah rakyat Terengganu lupa kepada ideologi politik
dalam sambutan itu. Semua bangga Terengganu telah mencipta sejarah.
Walaupun Terengganu tidak
bermain dengan baik pada separuh masa pertama, pasukan itu ketinggalan satu
gol, semangat mereka tidak pudar bahkan mereka bermain lebih
bersungguh-sungguh, cuba sedaya upaya dan tidak putus asa.
Pemain Terengganu seolah-olah
ada prinsip kebertanggungjawaban: Kalau kalah pun ada akauntabiliti, menang pun
sama juga, maka soal kalah tidak timbul. Dengan semangat demikian tidak hairan
Terengganu mencatat sejarah. Kini Kelantan sahaja yang tidak pernah menjadi
juara Piala Malaysia di antara negeri-negeri Melayu di Pantai Timur.
Penulis dengar ada percubaan
untuk mengadakan reformasi dalam kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan agar
negeri itu yang pernah masuk pertandingan akhir tahun 1970 tetapi kalah
ditangan Perak 2-0 dapat mencontohi Terengganu dalam masa terdekat.
Penulis percaya satu fakta
terbesar selain daripada iltizam dan keyakinan pada diri sendiri yang membawa
kejayaan bagi Terengganu adalah kerana kedudukan persatuan bola sepak negeri
itu miskin berbanding dengan negeri-negeri yang kaya. Keadaan ini bagaikan anak
miskin belajar lebih bersungguh-sungguh daripada anak orang kaya dan atasan.
Kemenangan Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu dan wira-wiranya amat membanggakan. Syabas! Semoga rekod ini
dapat dipertahankan melalui peningkatan standard permainan yang lebih
cemerlang.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm#ixzz4boswaGCR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan