Jumaat, 17 Mac 2017

Terengganu bakal rayakan kejayaan awal

ARKIB : 10/05/2001
TERENGGANU, pasukan yang begitu dikagumi pada awal kempen bola sepak Liga Perdana Satu musim ini, bakal bergembira dengan kejayaan menjuarai pusingan pertama di Stadium Larkin Sabtu ini, jika berjaya mengatasi Johor.

Meskipun pusingan pertama berbaki dua perlawanan, pasukan Mat Zan Mat Aris dijangka tidak menghadapi masalah mengatasi si Jengking yang jelas tidak lagi berbisa.

Skuad Penyu gagah di tangga teratas dengan 25 mata, lima mata di depan pencabar terdekat, Kelantan manakala Johor adalah pasukan di tangga terbawah liga yang belum mencatat sebarang kemenangan.

Seri sekalipun di Larkin sudah cukup buat Terengganu untuk dinobatkan selaku juara pusingan pertama untuk menerima wang tunai RM27,500 yang dijanjikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Juara Piala FA musim lalu itu juga belum mampu digugat mana-mana pasukan setakat ini, apabila mencatat lapan kemenangan dan satu seri, terus kebal tanpa tewas.

Kelantan, satu-satunya pasukan yang berupaya mengubah jangkaan kejuaraan pusingan pertama ini, tampak sukar untuk menggugat Terengganu biarpun mereka merakam kemenangan ke atas Pulau Pinang Sabtu ini.

Begitupun, sembilan lagi pasukan turut menerima wang tunai daripada FAM selepas tamat pusingan pertama, dengan pasukan kesepuluh menerima RM5,000.

Begitu juga dengan Perdana Dua. Johor FC yang turut cemerlang dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan, bakal menjuarai pusingan pertama esok di Stadium KLFA, Cheras jika mencatat kemenangan ke atas Tentera.

Kejayaan bergaya Terengganu menundukkan pasukan jiran, Pahang 3-0 di Kuala Terengganu kelmarin sebagai petanda jelas bahawa pasukan itu memiliki kekuatan di semua bahagian.

Namun, kejutan boleh berlaku dalam bola sepak dan Johor mampu memusnahkan impian Terengganu, Sabtu ini meskipun ia agak mustahil.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bb3DfHUE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan