ARKIB : 30/04/2001
Oleh: MOHD LAZIM ENDUT
KEMENANGAN berterusan
meletakkan Terengganu selesa di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Satu
musim ini sekali gus menjadikan mereka sebagai pasukan yang mula mendapat
perhatian dan kian digeruni.
Setelah mengharungi tujuh
perlawanan, pasukan `Hitam Putih' dari Pantai Timur ini berjaya mencipta rekod
tanpa kalah-enam kali menang dan satu seri dengan mengumpul 19 mata.
Namun di sebalik pencapaian
cemerlang di awal musim, para pemain mungkin mula menghadapi sedikit tekanan
dalam usaha mempertahankan kedudukan teratas.
Bagi Terengganu yang penting
ialah para pemain mereka perlu mengekalkan corak permainan dengan serangan
pantas.
Tidak mustahil Terengganu mampu
untuk terus menguasai takhta dan mencatat sejarah baru.
Dalam perlawanan ketujuh ketika
menentang Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu
kelmarin pasukan tuan rumah mengulangi kecemerlangan setelah menundukkan
pelawat 3-1.
Gandingan mantap Sapian Wahid
dan Wan Rohaimi Ismail di barisan serangan sering kali mencemaskan benteng
pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan cantik yang dilakukan oleh Hairuddin
Omar, Rosdi Talib dan Faziallah Mamat.
Hasil gerakan tersebut, Wan
Rohaimi membuka tirai jaringan pada minit ke-40, diikuti Hairuddin Omar minit
66 dan Rosdi Talib minit ke-88.
Perlawanan kelmarin berjaya
mengundang jumlah penonton terbanyak. Kira-kira 15,000 penonton memenuhi
stadium dan ia seakan mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak
Terengganu.
Inilah jumlah terbanyak
penonton membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak perlawanan Liga
Perdana Satu berlangsung musim ini.
``Kita memulakan permainan
dengan baik sehingga memperoleh gol pertama tetapi prestasi mereka sedikit
terjejas apabila Perlis menyamakan kedudukan,'' ujar jurulatih Terengganu, Mat
Zan Aris ketika ditemui selepas perlawanan kedua-dua pasukan itu.
Bagaimanapun kata Mat Zan,
sebaik sahaja Hairuddin Omar menjaringkan gol kedua, semangat juang para pemain
kembali meningkat sehingga sering kali mencemaskan pemain pertahanan Perlis.
Menurut Mat Zan, kemenangan ini
akan memberi inspirasi cukup bermakna kepada setiap pemain Terengganu bagi
mengharungi perjuangan yang masih panjang dalam Liga Perdana Satu.
``Walaupun masih berada di
tangga teratas, saya berharap para pemain tidak mudah berpuas hati dan cepat
leka pada perlawanan akan datang,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bagUuNAj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan