Ahad, 19 Mac 2017

Pastikan Terengganu lengkapkan kenyataan

ARKIB : 02/11/2001
Ketua pasukan Terengganu ke perlawanan akhir Piala Malaysia esok, Zulharisham Awang menyifatkan pertemuan itu sebagai pelengkap kepada mimpi rakyat dan negeri Terengganu, yang mahu menjadikan ia satu kenyataan.

Sambil menghitung tugas yang dipikul itu sebagai berat, ketua pasukan yang dahulunya hanya mengisi ruang duduk bangku simpanan ketika Terengganu tumpas kepada Perak pada tahun 1998, berkata, inilah peluang terbaik baginya mengepalai pasukan itu untuk muncul juara.

``Kita akan berusaha memenuhinya dan kita mengharapkan doa rakyat dan penyokong untuk mencipta kejayaan itu,'' ujarnya.

Zulharisham berkata, jika Terengganu mampu menjulang Piala Malaysia, ia bonus paling berharga buat rakyat negeri itu.

Sehubungan itu, dia mahu semua pemain memberikan tumpuan kepada satu maltamat - mencipta kemenangan dan menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

``Kami mahu buktikan kemampuan sebenar dalam perlawanan akhir ini dan berazam piala keramat itu menjadi milik Terengganu pula.

``Jika dilihat prestasi, kami berada dalam kedudukan terbaik selepas mencipta beberapa kejayaan awal iaitu muncul juara Piala Sumbangsih, juara pusingan pertama Liga Perdana Satu dan tempat kedua Liga,'' katanya.

Menurut Zulharisham, berbanding dengan Perak, dia percaya pasukannya memiliki kelebihan yang tersendiri termasuk dari segi prestasi permainan dan strategi.

Beliau berkata, walaupun Terengganu pernah tumpas kepada Perak pada perlawanan akhir tahun 1998, namun kekalahan itu adalah disebabkan nasib yang tidak menyebelahi pasukan ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bmsrEERv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan