Isnin, 27 Mac 2017

Terengganu bertambah yakin

ARKIB : 02/02/2003
SETELAH mengharungi tiga perlawanan persahabatan dengan keputusan dua menang dan satu seri, pengurusan pasukan Terengganu kini semakin yakin pemain mudanya mampu membuat kejutan menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia, musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, kemenangan 3-1 ke atas SKMK Kelantan, menang 1-0 dengan JPS Kelantan dan seri 2-2 dengan TNB Kelantan merupakan suatu perkembangan yang cukup baik.

``Walaupun kita telah kehilangan lima pemain senior yang dikatakan bertaraf bintang, kita tidak khuatir kerana masih mampu melahirkan para pemain baru yang mempunyai corak persembahan setaraf dengan mereka,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Malah Che Mat turut berbangga kerana tiga pemain muda pasukan Penyu turut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dipanggil bagi menjalani latihan bersama pasukan bawah 21 kebangsaan, tidak lama lagi.

Menurut Che Mat, ketiga-tiga pemain itu yang sebelum ini bermain untuk Piala Presiden ialah Raja Maliki Raja Ayob, Tengku Alias Tengku Ibrahim dan Norhisham Hassan.

``Saya cukup bangga dengan perkembangan ini dan percaya pasukan Terengganu yang berwajah baru pada kali ini tidak akan menjadi sebuah pasukan belasahan.

``Apatah lagi dengan pendekatan corak permainan yang dipamerkan oleh gandingan dua import, Seidu Issifu dan Patron Akakpo semakin memberangsangkan,'' ujarnya.

Malah katanya, beberapa pemain muda yang disenaraikan itu turut memiliki kemahiran ketika mengawal bola serta mampu membuat rembatan kencang ke arah gawang gol lawan.

Beliau berkata, kebanyakan pemain baru yang diserapkan itu didapati semakin bersemangat dan berkeyakinan selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan, hanya dari segi pengalaman sahaja mereka masih kurang.

Sehubungan itu beliau mengharapkan para peminat bola sepak di Terengganu agar dapat memberi sokongan tinggi kepada pasukan di bawah pengendalian jurulatih Tajuddin Noor itu.

Menurut Che Mat, para peminat tidak perlu gelisah dengan ketiadaan lima pemain senior kali ini kerana gandingan pemain muda dengan mereka yang sudah berpengalaman dijangka mampu membuat kejutan.

Beliau berkata, bagi menghadapi persaingan Liga Malaysia tidak lama lagi, setiap pemain juga turut diterapkan dengan persediaan mental melalui ceramah agama, motivasi dan pengetahuan mengenai sistem pemakanan.

``Matlamat kita tahun ini adalah untuk membawa pulang Piala Liga serta meletakkan pasukan ini mara ke peringkat akhir pertandingan Piala Malaysia.

``Membawa pulang Piala Liga merupakan matlamat kita yang telah dirangka dua tahun lalu untuk tempoh sehingga 2003 bagi merangkul semua piala yang dipertandingkan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWQhsH00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan