ARKIB : 18/11/2001
PERSATUAN Bola Sepak Negeri
Terengganu (PBSNT) sekali lagi memberikan kepercayaan kepada Mat Zan Mat Aris
untuk membimbing pasukan Penyu yang menjadi juara Piala Malaysia 2001 dalam
menghadapi Liga Perdana dan Piala Malaysia musim depan.
Setiausaha PBSNT, Abdullah
Salleh berkata, kepercayaan itu diberikan kepada Mat Zan berdasarkan
kejayaannya membimbing pasukan itu sehingga berjaya menjadi juara Piala
Malaysia tahun ini.
``Mat Zan juga telah memberi
persetujuannya untuk terus menjadi jurulatih pasukan itu selama satu tahun lagi
dan majlis menandatangani kontrak akan dibuat hujung Disember ini,'' katanya
ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.
Abdullah berkata, bagaimanapun
keputusan akhir perlantikan Mat Zan itu bergantung kepada kelulusan cuti
daripada majikannya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Namun demikian, Abdullah
percaya perkara itu akan dapat diselesaikan, berdasarkan kepada beberapa
perkembangan yang berlaku baru-baru ini.
Abdullah berkata, mengikut
perancangan, Mat Zan akan memulakan latihan bersama pasukannya itu pada 26
November depan kerana PBSNT ingin memberikan pemain rehat yang secukupnya
selepas mengharungi musim ini.
Selain Mat Zan, PBSNT juga
telah melantik dua jurulatih lain bagi mengendalikan pasukan di bawahnya untuk
musim tahun hadapan.
Menurut beliau, bekas pemain
negeri itu Yusof Ali diberi kepercayaan untuk terus membimbing pasukan Piala
Milo sementara seorang lagi bekas pemain negeri Othman Mat Khiar dilantik untuk
membimbing pasukan Piala Presiden.
``Perlantikan awal itu adalah
bagi membolehkan jurulatih-jurulatih itu membuat persediaan dan mencari
pemain-pemain berbakat untuk pasukan mereka,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bpNq7Y00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan