Jumaat, 17 Mac 2017

Persembahan Penyu tambah buruk - Mat Zan

ARKIB : 21/05/2001
MESKIPUN sudah bergelar juara pusingan pertama, Terengganu masih kurang berpuas hati dengan corak persembahan para pemain ketika menewaskan Melaka 1-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin, lapor MOHD LAZIM ENDUT.

Langkah sumbang skuad Penyu pada perlawanan kelmarin menampilkan aksi serta persembahan terburuk pasukan itu walaupun mereka meraih habuan RM40,000 sebagai pemenang.

Gol tunggal tuan rumah yang dihasilkan oleh pemain kebangsaan, Hairuddin Omar pada minit kedua babak awal permainan hampir diranapkan oleh kegarangan pasukan pelawat pada babak kedua.

Melihat beberapa sentuhan anak buahnya yang kurang menjadi, jurulatih Penyu, Mat Zan Mat Aris terpaksa membuat rombakan dengan memasukkan Mohd Nafuzi Zain bagi menggantikan bekas pemain Melaka, Sapian Wahid.

Begitu pun jentera pasukan tuan rumah tetap longgar menyebabkan ia memberi kesempatan kepada anak buah Ramli Junit untuk terus mencuri ruang dengan menggasak ke hadapan pintu gol Terengganu.

``Saya akui persembahan menentang Melaka kelmarin agak mengecewakan. Mereka seolah-olah tidak bermaya terutama pada babak kedua perlawanan,'' ujar Mat Zan kepada Sukan Utusan.

Mat Zan berkata, beliau telah memangil kesemua pemain untuk mengenal pasti masalah yang dialami sehingga menyebabkan persembahan mereka kelam kabut dan hambar.

Menurut beliau, menerusi pertemuan itu jelas para pemain turut kecewa dengan persembahan mereka, yang nyata mencetuskan keresahan penonton.

Katanya, prestasi hambar itu berpunca daripada keghairahan pemain untuk mendapatkan jaringan besar sehingga terlepas banyak peluang terbaik ketika berada di depan pintu gol.

``Jika tidak terlalu gopoh dan ghairah, sudah pasti jumlah gol yang terhasil pada malam kelmarin lebih besar. Perkara ini diakui para pemain sendiri,'' ujar beliau.

Mengenai perlawanan menentang Johor 26 Mei ini, Mat Zan mengharapkan para pemain kembali bertenaga untuk terus mengekalkan rekod tanpa kalah pusingan pertama.

Menurut Mat Zan, kejuaraan liga pada peringkat ini masih belum boleh dibanggakan kerana perjuangan selepas ini agak berat serta menyulitkan.

``Saya akan pastikan sebelum bertolak ke Johor, setiap pemain dapat meningkatkan kembali prestasi masing-masing dengan harapan perlawanan ini turut berakhir dengan kemenangan,'' jelas beliau.

Mat Zan turut diulit resah dengan perlawanan pusingan kedua apabila sembilan pemain utamanya akan dipanggil menyertai pasukan kebangsaan dan bawah 23 tahun.

Pemain yang terlibat dengan pasukan kebangsaan ialah Abdul Ghani Malek, Rosdi Talib, Sapian Wahid dan Wan Rohaimi Ismail manakala bawah 23 tahun pula ialah Md Syamsuri Mustaffa, Mohd Marzuki Yusoff, Subri Sulong, Mohd Faziallah Mamat dan Hairuddin Omar.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bbLablEM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan