ARKIB : 22/03/2002
WALAUPUN memperoleh kemenangan
besar 4-0 ke atas NS Chempaka di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah Selasa
lepas, Terengganu tetap akan berhati-hati ketika bertemu Pahang esok.
Jurulatih Mat Zan Mat Aris
berkata, pemain skuad penyu tidak harus berpuas hati hanya dengan kemenangan
itu, sebaliknya perlu menjadikannya sebagai penyuntik semangat untuk mereka
mengulangi kejayaan yang sama di Stadium Darul Makmur.
``Kita tetap berhati-hati dengan
Pahang kerana kita tahu mereka pasukan mantap dan mampu memberi duka kepada
Terengganu jika tidak bermain bersungguh-sungguh,'' katanya di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, Terengganu
mengharapkan kemenangan pada pertemuan itu bagi mengubah kedudukannya yang kini
berada di tangga ke lapan selepas hanya mampu memungut 12 mata daripada
sembilan perlawanan.
Menurut beliau, walaupun Pahang
mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri, namun ia bukanlah alasan
kepada Terengganu tidak membawa pulang tiga mata penuh jika mampu beraksi
cemerlang.
``Kalau pemain mampu menunjukkan
prestasi sebagaimana mereka bertemu NS Chempaka, tidak ada sebab kita menerima
kekalahan kerana saya lihat mereka sudah mula mempunyai persefahaman yang
baik,'' katanya.
Mat Zan berkata, sebagai juara
Piala Malaysia musim lalu, Terengganu seboleh-bolehnya tidak mahu menerima
kekalahan lagi selepas ini.
``Apa yang penting bagi kita
ialah mendapat kemenangan pada setiap perlawanan dan berharap semua pemain akan
lakukan yang terbaik,'' katanya.
Mat Zan berkata, Terengganu tidak
pernah memandang rendah pasukan lawan seperti Pahang dan beliau sendiri sedang
menyusun strategi bagi membawa pulang tiga mata penuh. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4by5tXiti©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan