ARKIB : 04/07/2001
PEMAIN Selangor, Yusri Che Lah
berusaha melarikan bola ketika dikejar seorang pemain Pulau Pinang dalam aksi
bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, semalam yang berkesudahan
seri 1-1. - Gambar AZALEZAH MALEK.
PERAK bangkit pada lewat
permainan sebelum mencatat kemenangan 2-1, sekali gus mencacatkan rekod
cemerlang pendahulu liga, Terengganu pada perlawanan Liga Perdana Satu di
Stadium Perak, Ipoh, semalam.
Shahrulnizam Sahat membuka
jaringan pasukan pelawat pada minit ke-65 tetapi penyerang Perak yang menaikkan
kemarahan Karl Heinz Weigang, Mohd. Khalid Jamlus gara-gara ponteng latihan
minggu lalu, menjaringkan kedua-dua gol pasukan tuan rumah minit ke-76 dan 89.
Keputusan itu memperbaiki
kedudukan Perak di pertengahan liga tetapi merapatkan jurang mata antara
Terengganu dengan beberapa pasukan di bawahnya.
Sementara itu di Stadium Shah
Alam, Selangor terselamat daripada menanggung aib apabila mencatat keputusan
seri 1-1 dengan Pulau Pinang.
Skuad Red Giants yang beraksi
buruk di gelanggang sendiri, diselamatkan menerusi jaringan penyerang
kebangsaan, Rusdi Suparman.
Perlawanan dikuasai sepenuhnya
oleh Pulau Pinang yang hampir mendapat gol pertama pada minit kelima tetapi
sepakan Mohd. Fareed Shah terkena palang.
Peluang terbuka sekali lagi hadir
buat skuad Harimau Kumbang apabila sepakan penalti diberikan setelah pertahanan
Selangor, Asmawi Bakiri menjatuhkan Fareed tetapi sepakan R. Suresh Ku-mar
diselamatkan penjaga gol, Azmin Azram Aziz minit ke-20.
Asakan Pulau Pinang akhirnya
mendatangkan hasil pada minit ke-27 setelah sepakan percuma Mohd. Aiman Wong
dari sebelah kiri terkena Shamsul Amri Abu Bakar sebelum bola bergolek masuk.
Selangor walaupun
mempersembahkan permainan membosankan namun berjaya memperoleh gol penyamaan
menerusi satu-satunya peluang yang mereka cipta menerusi Rusdi yang mendapat
bola dari tandukan Yusri Che Lah dalam kotak penalti hasil hantaran jauh pemain
pertahanan, Khairon Haled Masrom minit ke-77.
Sementara itu di Sta-dium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jaringan tunggal minit ke-37 oleh Zami Mohd. Noor
memberikan kemenangan 1-0 Negeri Sembilan ke atas Pahang.
Gol berpunca daripada hantaran
Affendi Malek yang berjaya melepasi dua pertahanan Pahang dan meleretkan bola
kepada Zami yang menewaskan penjaga gol Pahang, Azrul Hisyam Mohd. Yusoff.
Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV,
Kota Bharu, Kelantan merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga menerusi
kemenangan 3-1 ke atas Johor.
Anuar Abu Bakar menanduk masuk
gol pertama minit ke-32 setelah menerima hantaran Tuan Kamree Tuan Yahya dari
sebelah kanan pintu gol Johor yang gagal diselamatkan oleh Othman Katmon.
Kelantan yang menguasai babak
pertama menambah jaringan sekali lagi menerusi Anuar minit ke-45 hasil
tendangan sudut Tuan Kamree.
Johor merapatkan jurang
menerusi tendangan penalti minit ke-70 Mohd. Jamil Ismail sebelum Fatrurazi
Rozi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-77.
Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala
Lumpur sekadar mencatat seri 1-1 dengan Perlis.
Pasukan tuan rumah ketinggalan
menerusi jaringan penalti minit ke-37 oleh Rozmin Musa sebelum Rosle Derus
memastikan satu mata diraih Kuala Lumpur apabila menyamakan kedudukan minit
ke-90.
Melaka bernasib baik apabila
mencatat keputusan seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Kubu. Sarawak mendahului
dua kali menerusi Ramles Sari pada minit ke-27 dan 68 tetapi berjaya disa-makan
oleh Rashid Mahmod pada minit ke-34 dan M. Gopalan minit ke-84.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfvxs81q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan