Khamis, 8 Disember 2016

Terengganu, Perak layak

ARKIB : 15/09/1999
TERENGGANU dan Perak mengesahkan tempat ke Piala Malaysia biarpun keputusan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam memihak kepada pasukan pelawat yang menang 2-1 pada perlawanan bola sepak play-off kumpulan B.

Dengan keputusan itu, Perak yang sejak awal cuba mengintai ruang gol lawan akhirnya membuahkan senyuman cukup bermakna untuk mengiringi Terengganu ke Piala Malaysia apabila muncul naib juara kumpulan.

Skuad Penyu yang jelas sudah dikira layak ke pusingan Piala Malaysia biarpun tewas kepada Perak pada perlawanan itu mula menggelabah apabila penyerang berbisa pelawat, V. Saravanan memperoleh gol pada minit pertama pertarungan bermula.

Terengganu pula yang tergamam setelah ketinggalan 0-1 agak kehilangan rentak dan terpaksa berhempas pulas mengatur semula gerakan sebelum sentuhan sebenar ditemui 10 minit kemudian.

Bermula dengan Sapian Wahid yang membuat tandukan bola akhirnya melekat dalam genggaman Zamri disusuli Anuar Jusoh menyepak kencang tetapi tersasar sebelah kanan gol Perak.

Setiba di minit ke-29 babak pertama, Anuar yang dari mula kelaparan gol akhirnya berhasil menyamakan kedudukan dengan menyempurnakan peluang terbuka di depan pintu gol pelawat hasil sepakan percuma dari kawasan tengah padang.

Kedudukan seri 1-1 tidak mematahkan semangat kedua-dua pasukan untuk saling menyerang mencari gol kemenangan sehinggalah ke babak kedua bermula.

Pada minit ke-15 separuh masa kedua apabila penyerangnya, Hairuddin Omar terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan di kepala selepas berlanggar dengan seorang pemain Perak.

Namun nasib sememangnya lebih berpihak kepada Perak apabila seorang lagi bekas penyerang skuad Olimpik 2000, Mohd. Khalid Jamlus ternyata berbisa untuk melengkapkan gol kemenangan buat Perak pada minit 76 sekali gus memastikan pasukannya layak ke Piala Malaysia yang dijadual bermula 25 September ini.

Di Stadium Pasir Gudang, Impian Melaka untuk melangkah ke Piala Malaysia musnah apabila seri tanpa jaringan dengan Johor FC.

Perlawanan bagi menentukan pemenang yang dilakukan melalui tendangan penalti itu dimenangi oleh Johor FC dengan keputusan 3-2. Pemain Melaka, K. Muhuthan, Ariffin Yunus dan Zainal Rabin gagal menyempurnakan tendangan tersebut.

Dengan keputusan itu, Melaka terus menghuni Perdana Dua. Melaka seolah-olah tidak bermaya walaupun hanya berhadapan dengan sebuah pasukan kelab, sebaliknya Johor FC yang sudah tiada harapan untuk layak ke Piala Malaysia menunjukkan belang.

Kelantan pula menamatkan kempen kelayakan Piala Malaysia dengan nota cukup mengecewakan apabila dibelasah 5-1 oleh Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, Kota Bharu.

Skuad Kijang yang berhasrat menghabiskan baki perlawanan terakhirnya itu dengan kemenangan, tenggelam dengan corak permainan hambar di hadapan 500 penyokong sendiri.

Kedah berjaya mencuri gol seawal minit pertama permainan menerusi Azrin Shah Zainal yang berjaya menggelecek pertahanan Kelantan dan menewaskan penjaga gol lawan, Shahrizan Ismail.

Mohd. Rafdi Rashid menghukum lagi pertahanan Kelantan dengan gol kedua pasukan pada minit ke-16 melalui larian solonya dari tengah padang.

Pemain tengah Kedah, Azrin Shah jelas menjadi pemusnah utama kepada pertahanan Kelantan yang beraksi tanpa pemain veterannya, Zahasmi Ismail.

Kedah melabuhkan tirai separuh masa pertama dengan satu lagi gol menerusi Zainal Abidin Abu Bakar pada minit terakhir.

Kelantan cuba memberi semula saingan pada separuh masa kedua dengan corak permainan pantas dan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Zainuddin Ariffin pada minit ke-68. Begitupun, jaringan tersebut tidak melunturkan semangat Kedah sebaliknya terus menambah derita Kelantan dengan dua lagi gol menerusi penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli minit ke-70 dan Nurul Ahyat Elias lapan minit kemudian.

Di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei mengakhiri kempen dalam kumpulan A dengan membelasah Perlis 5-1.

Brian Iman menjaringkan hatrik untuk tuan rumah dengan gol pada minit ke-47, ke-84 dan ke-90. Dua lagi gol diperoleh melalui Rafael Patron Akapo pada minit kelapan dan Riwandi Wahid pada minit ke-14.

Gol tunggal Perlis dijaringkan Mohd Zalmie Jamlus pada minit ke-13.

Dengan kemenangan ini, Brunei akan bermain dalam kumpulan yang dianggap kumpulan paling sukar yang terdiri daripada Sabah, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur.

Perlis, yang sebelum ini juga telah melayakkan diri dalam Piala Malaysia akan bermain dalam kumpulan yang satu lagi bersama-sama Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Perlawanan Piala Malaysia bermula minggu depan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SGDQjdZ2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan