Ahad, 19 Mac 2017

Dua misi penting bagi Penyu

ARKIB : 03/11/2001
KEGAGALAN Terengganu untuk membawa pulang Piala Malaysia 1998 akan ditebus semula dalam pertemuan ulangan peringkat akhir menentang Perak yang dijangka sengit serta mendebarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Bagi pasukan Penyu, kekalahan 3-5 ke atas Perak pada perlawanan lalu yang penuh dramatik dan berakhir dengan sepakan penalti adalah disebabkan nasib tidak menyebelahi mereka.

Bagaimanapun, pada awal musim ini pemain Penyu berjaya menebus kehampaan itu dengan membelasah Perak 4-0 untuk merangkul Piala Sumbangsih bagi tahun ini dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pencapaian itu seakan memberi amaran awal kepada anak buah M. Karathu bahawa kehadiran Penyu kali ini usah dipandang ringan kerana ia tidak akan menangis lagi.

``Kehadiran kami membawa dua misi penting iaitu membalas dendam serta membawa pulang Piala Malaysia. Kegagalan kami pada tahun 1998 tidak boleh dijadikan pengukur.

``Ketika itu kami telah bermain dengan baik dalam tempoh yang agak panjang sehingga mengambil masa 120 minit. Penentu kejayaan Perak ketika itu hanya sepakan penalti,'' kata pengurus pasukan Penyu, Datuk Che Mat Jusoh.

Sementara itu, jurulatih Penyu Mat Zan Mat Aris menjangkakan pertemuan akhir kedua-dua pasukan pada malam ini sebagai sengit dan menarik dengan memberi kedudukan serta peluang yang seimbang.

Menurut Mat Zan, sekiranya pemain mampu mengulangi kecemerlangan beraksi sepertimana yang ditunjukkan ketika menewaskan Perak 4-0 pada Piala Sumbangsih, pasti Piala Malaysia berpihak kepada Terengganu

``Perak sememangnya diakui sebagai sebuah pasukan yang memiliki banyak pemain berpengalaman. Mereka juga memiliki ketahanan ketika bermain di bawah tekanan.

``Saya lega kerana pemain Terengganu kini sudah mampu menghadapi situasi seperti itu. Kemenangan ke atas Selangor dan Kelantan di gelanggang lawan sebelum ini membuktikan mereka semakin matang,'' ujar beliau.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bmwh6lOJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan