ARKIB : 10/11/2001
TERENGGANU dijangka akan
menyenaraikan semula kesemua barisan pemain utamanya yang mencipta sejarah
menjulang Piala Malaysia untuk menghadapi musim baru Liga Perdana.
Walaupun pihak pengurusan
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) belum mengumumkan perkara
berkenaan, setiap pemain Penyu kini dikatakan telah mendapat `lampu hijau.'
Keputusan itu mungkin
berdasarkan pencapaian cemerlang mereka ketika menewaskan Perak 2-1 dalam
perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
``Setakat ini, semua pemain
untuk musim 2001 kekal kerana mereka masih mempunyai kontrak bersama
Terengganu.
``Namun kita belum membuat
perancangan kerana sibuk merayakan kemenangan Piala Malaysia dengan menjelajah
ke setiap daerah di Terengganu,'' kata pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh di
Kuala Terengganu, kelmarin.
Mengenai kemungkinan ada pemain
utama yang akan meninggalkan Terengganu musim depan, Che Mat berkata, perkara
itu agak mustahil kerana kebanyakan pemain pernah berjanji untuk terus bersama
selagi mereka diperlukan.
Para pemain sudah berjanji
dengan meluahkan kata-kata `kalau susah sama-sama susah'.
``Setakat ini tidak ada pemain
yang memberitahu mahu mengundurkan diri,'' kata beliau.
Che Mat memuji beberapa pemain
seperti Hairuddin Omar, Wan Rohaimi Ismail dan Abdul Ghani Malek yang setia
bersama Terengganu.
Begitu juga dengan pemain lain
seperti Rosdi Talib, Sapian Wahid, Subri Sulong, Zubir Ibrahim dan ketua
pasukan, Zulharisam Awang.
Katanya, kesabaran serta
pengorbanan Hairuddin Omar yang pernah menolak tawaran lumayan Selangor
membuktikan kesetiaan pemain itu.
``Setiap pemain tidak pernah
demand dan saya percaya kita mampu mengulangi kecemerlangan,'' ujar beliau.
Pengurus itu berkata, selain
Piala Malaysia, impian pasukan Penyu musim depan ialah untuk merangkul
kejuaraan liga.
``Saya percaya di atas
kesabaran Penyu yang sentiasa di lambung ombak, akhirnya ia berjaya juga
bertelur di kawasan Pantai,'' katanya dengan suatu maksud yang tersirat.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bpD0XgOF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan