ARKIB : 31/12/1999
TERENGGANU mengikat tiga pemain
baru yang bertaraf bintang bagi memantapkan pasukan negeri itu dalam menghadapi
cabaran bola sepak Liga Perdana musim depan.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak
Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, pemain berkenaan ialah
Halim Jantan (Melaka), Alif Rohaimi Azihan (Kelantan) dan Shahril Arshat
(Selangor).
"Halim dan Alif Rohaimi
merupakan pemain penyerang manakala Shahril pemain tengah," katanya kepada
Bernama di Kuala Terengganu, semalam.
Abdullah berkata Halim pada
tahun ini mewakili Negeri Sembilan manakala Alif Rohaimi (Pahang) dan Shahril
(Pulau Pinang).
Beliau berkata majlis
menandatangani kontrak antara ketiga-tiga pemain itu dan PBSNT dijangka
diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Abdullah berkata Terengganu
memerlukan khidmat ketiga-tiga pemain berkenaan bagi menggantikan beberapa
pemain Terengganu yang berhijrah ke negeri lain.
Beliau berkata Terengganu masih
mencari beberapa pemain lagi memandangkan cabaran Liga Perdana tahun depan
lebih sengit berikutan pertambahan pasukan dalam kejohanan itu.
"Terengganu akan memulakan
latihan dan pemilihan pemain-pemain pada 16 Januari dan kita mengalu-ngalukan
pemain-pemain dari luar untuk menjalani ujian," katanya.
Abdullah berkata semua pemain
yang ada, kecuali Anuar Jusoh dan Badrul Hisham Abdullah yang masing-masing
tamat kontrak tahun ini, telah memberikan persetujuan untuk bersama Terengganu
semusim lagi.
Mereka termasuk Sofian Wahid,
A.Geneson, Rosli Omar, Ghani Malik dan beberapa orang lain yang telah memain
peranan dalam meningkatkan prestasi negeri ini, katanya.
Abdullah berkata Anuar Jusoh
mungkin berhijrah ke Selangor manakala Badrul Hisham pula belum membuat
keputusan sama ada akan terus di Terengganu atau sebaliknya. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1231&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SnsOi5Ku
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan