ARKIB : 13/11/2001
SEJAK berjaya mengawal gawang
gol skuad Terengganu daripada terus dibolosi oleh penyerang skuad Perak pada
perlawanan akhir Piala Malaysia lalu, nama Zubir Ibrahim kembali meniti di
bibir peminat, lapor CHE KU ZAINAL.
Nama Zubir serta beberapa
pemain lain seperti Zulharisam Awang, Hairuddin Omar dan Sapian Wahid terus
dilaungkan pada sesi menjelajah Piala Malaysia ke daerah Dungun, semalam.
Zubir kelihatan lebih popular
di kalangan para penyokong mungkin kerana beliau adalah satu-satunya pemain
veteran yang masih kekal dalam skuad Terengganu.
Zubir semasa ditemui berkata,
dia berhasrat untuk terus menyarung jersi Terengganu sekurang-kurangnya dua
musim lagi membantu mengekalkan Piala Malaysia yang dianggap berprestij itu.
``Jika dilihat faktor usia saya
mungkin tidak lagi mampu untuk menjadi pemain utama dalam skuad Terengganu
musim depan.
``Tetapi demi mempertahankan
Piala Malaysia di Terengganu ini, saya sedia berkorban.
``Saya berharap pemain pelapis
akan sentiasa bersedia untuk menggantikan saya pada bila-bila masa,'' katanya.
Pada majlis tersebut, Ahli
Dewan Negara, Senator Rosli Mat Hassan turut menyumbangkan wang tunai sejumlah
RM10,000 kepada skuad bola sepak Terengganu yang diterima oleh timbalan
pengurus pasukan bola sepak terengganu, Ramli Embong.
Mengulas seorang lagi penjaga
gol, Md Syamsuri Mustaffa, Zubir berkata, dia pemain yang berbakat.
Zubir turut membayangkan untuk
menjadi jurulatih bagi penjaga gol untuk skuad Terengganu pada masa akan
datang.
``Saya akan berbincang dengan
pihak pengurusan mengenai kedudukan saya selepas bersara daripada bermain bola
sepak dan memohon untuk dihantar menjalani kursus kejurulatihan ini,'' ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bpH91HS6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan