Jumaat, 17 Mac 2017

RM40,000 sah milik Penyu


 

ARKIB : 20/05/2001
PEMAIN Terengganu, Faziallah Mamat (tengah) berebut bola dengan pemain Melaka, Amrie Abdullah pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam. Terengganu menang 1-0. - Gambar ABD. RAHMAN SALLEH.

TERENGGANU mengesahkan habuan sebanyak RM40,000 selaku juara pusingan pertama bola sepak Liga Perdana Satu menjadi miliknya selepas mengatasi Melaka 1-0 pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Walaupun pusingan pertama masih berbaki satu perlawanan _ menentang Johor pada 26 Mei ini_ kemenangan itu meneruskan rentak kejayaan Terengganu mengekalkan rekod tanpa kalah dan meletakkan mereka di tangga teratas liga dengan 28 mata.

Pasukan tangga kedua, Kelantan pula seri 2-2 dengan Pahang di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu walaupun mendahului sebanyak dua kali.

Gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar seawal minit kedua permainan setelah menyambar bola yang dikuis Subri Sulung di depan gawang lawan.

Mohd. Hardi Ahmad dan Rosli Omar menjaringkan gol untuk Kelantan pada minit ke-44 dan 60 (penalti) sementara gol Pahang diperoleh menerusi Azmani Abdul Kadir minit ke-55 dan Azizul Kamaluddin minit ke-82 (penalti).

Di Stadium Shah Alam, Selangor meneruskan kebangkitan pada penghujung pusingan pertama ini apabila terus merakam kemenangan, kali ini 3-0 ke atas Perlis.

Penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman menjaringkan dua gol pada minit ke-50 dan 89 dan satu gol lagi dihasilkan Mohd. Nizaruddin Yusof minit ke-78.

Selangor kini semakin melonjakkan diri dengan 15 mata mengatasi Negeri Sembilan yang tumpas kepada Pulau Pinang di Paroi.

Di Stadium Perak, Ipoh, Khalid Jamlus yang kembali beraksi selepas digantung gara-gara mencari hiburan sehingga lewat malam semasa dalam kem latihan kebangsaan, menjaringkan hatrik untuk membantu Perak menang besar 5-0 ke atas pasukan terbawah liga, Johor.

Khalid menjaringkan gol pada minit ke-33, 54 dan 63 manakala satu gol masing-masing dijaringkan Syamsol Saad (46) dan V. Saravanan (68).

Sementara itu, pasukan pelawat, Pulau Pinang menundukkan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekali gus memberikan tekanan kepada pasukan di tangga kedua, Kelantan.

Pulau Pinang mendapat gol pertama pada minit ke-14 menerusi Asmawi Hassan. Mohd. Aiman Wong menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60.

Di Stadium KLFA, Cheras, pasukan tuan rumah Kuala Lumpur sekadar mengutip satu mata selepas seri tanpa jaringan dengan Sarawak.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bbJsRWEX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan