Jumaat, 17 Mac 2017

Rekod cemerlang Penyu diuji

ARKIB : 08/05/2001
Oleh JOHARI SHAWAL
BOLA sepak Liga Perdana Satu sudah memasuki pertengahan kempen dengan enam lagi perlawanan yang berlangsung malam ini sedia menambah debaran.

Pendahulu liga, Terengganu pasti amat dicemburui lawan ketika ini apabila gagah di tangga atas dengan jurang empat mata dengan pencabar terdekat, Kelantan.

Si Penyu harus bermegah kerana mereka setakat ini belum tewas selepas lapan perlawanan.

Tetapi pasti ada yang mahu mencacatkan rekod cemerlang anak buah Mat Zan Mat Aris ini. Malam ini, giliran Pahang cuba merobek kegembiraan mereka.

Pertemuan antara dua pasukan Pantai Timur itu pasti menjadi tumpuan utama malam ini.

Apakah Terengganu akan meneruskan aksi hebat mereka, men-jadikan Pahang mangsa terbaru atau Tok Gajah bakal mengamuk di Kuala Terengganu.

Bukan mudah mengatasi pasukan itu ketika ini apalagi di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Aksi Terengganu Selasa lalu di Batu Kawan dengan kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang cukup jelas menceritakan kehebatan mereka.

Pahang, pasukan di tangga keempat, cuma berbekalkan semangat kemenangan 3-0 ke atas Johor Selasa lalu.

Dalam pada itu, perlawanan Selangor dengan Kuala Lumpur di Shah Alam turut menjadi perhatian kerana ia akan diadili buat pertama kali oleh pengadil wanita.

Pertemuan itu juga bakal memberitahu siapa lebih hebat di Lembah Klang ketika ini, ketika kedua-dua pasukan berkongsi sembilan mata di pertengahan kedudukan liga.

Mereka masing-masing mencatat kemenangan Selasa lalu. Selangor menang tipis 1-0 ke atas Melaka manakala Kuala Lumpur bangkit daripada ketinggalan merakam kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.

Kelantan yang menduduki tangga kedua sama hebatnya dengan Terengganu. Mereka hanya tewas sekali dan pulang dari Kuching Selasa lalu dengan tiga lagi mata, menang 1-0 ke atas Sarawak.

Lawan mereka malam ini adalah Perlis, antara pasukan bawah liga yang terluka dengan kekalahan besar 4-0 kepada Perak di Kangar Selasa lalu.

Kesempatan bagi Kelantan untuk mengutip tiga lagi mata jika mengambil kesempatan atas aksi longlai Perlis ketika ini, apalagi bermain di tempat sendiri.

Tetapi anak buah K. Rajagopal jangan alpa, Perlis mampu mengubah jangkaan awal itu.

Pulau Pinang yang berkongsi 17 mata dengan Kelantan di tangga ketiga, berdepan Perak yang segar dengan kemenangan besar ke atas Perlis.

Dua pasukan yang tewas Selasa lalu pula, Negeri Sembilan dan Sarawak bertemu di Paroi untuk menyembuhkan luka masing-masing.

Begitu juga Melaka dan Johor yang berentap di Selayang, Selangor untuk masing-masing mengelak daripada menghuni tangga tercorot.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4baunMiFh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan