ARKIB : 29/04/2001
REKOD bersih Terengganu dalam
bola sepak Liga Perdana Satu terus terpelihara apabila kali ini gagah mengatasi
Perlis 3-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu, semalam.
Pasukan bimbingan Mat Zan Mat
Aris itu semakin kukuh di persada liga dengan 19 mata, dua mata di depan Pulau
Pinang yang sekadar mencatat seri 1-1 dengan Johor di Johor Bahru.
Bekas penyerang kebangsaan, Wan
Rohaimi Ismail sekali menemui sentuhan apabila membuka jaringan tuan rumah pada
minit ke-40.
Bagaimanapun, Perlis yang kini
di pertengahan kedudukan liga, membalas dengan gol penyamaan pada minit ke-66
juga menerusi pemain kebangsaan, Anuar Jusoh.
Namun, Terengganu jelas sukar
digugat pada awal musim ini apabila dua lagi pemain kebangsaan dalam pasukan
itu, Hairuddin Omar dan Rosdi Talib menemui sentuhan masing-masing pada minit
ke-76 dan 88 untuk Terengganu ceria dengan kemenangan 3-1.
Pulau Pinang yang sebelum ini
berkongsi 16 mata di tangga kedua dengan Terengganu, terpaksa berpuas hati
pulang dengan satu mata dari Stadium Larkin.
Johor mendahului 1-0 menerusi
jaringan Mohd. Supian Ibrahim pada minit ke-25 sebelum Pulau Pinang menyamakan
kedudukan minit ke-50 menerusi Mohd. Aiman Wong.
Negeri Sembilan menyekat
kebangkitan penyandang juara, Selangor apabila menang 1-0 di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi.
Yusafizan Johar menjadi
pemusnah impian pasukan Abdul Rahman Ibrahim untuk sekurang-kurangnya mencatat
seri di tempat lawan, apabila menyumbat masuk gol tunggal perlawanan minit
ke-53.
Ia merupakan kekalahan ketiga
Selangor selepas tujuh perlawanan selepas hanya mencatat satu kemenangan.
Ramles Sari muncul wira Sarawak
apabila menjaringkan dua gol untuk skuad Bujang Senang menang 2-1 ke atas juara
Piala Malaysia, Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Ramles mengejutkan tuan rumah
dengan jaringan pembukaan tiga minit sebaik babak kedua bermula tetapi Perak
menyamakan kedudukan minit ke-50 menerusi sepakan penalti Norizam Ali Hassan.
Namun, Ramles menghampakan
Seladang dengan gol kemenangan Sarawak minit ke-62.
Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV,
Kota Bharu, pasukan tuan rumah yang terluka apabila tewas kali pertama kepada
Selangor Selasa lalu, berpesta gol mengatasi Kuala Lumpur 4-0.
Annuar Abu Bakar menjaringkan
dua gol pertama minit ke-22 dan 27 sebelum Mohd. Hardi Ahmad menambah gol
ketiga si Kijang minit ke-52.
Rizal Zamberi Yahya menutup
malam gemilang Kelantan dengan gol keempat pada minit terakhir perlawanan untuk
Kelantan terus mengekori dua pasukan teratas untuk selesa di tangga ketiga
liga.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Pahang turut mencatat kemenangan di gelanggang sendiri, menewaskan
Melaka 3-1.
Begitupun, Melaka mengejutkan
tuan rumah dengan dua gol menerusi Mohd. Faizal Esahar pada minit ke-42 dan 55
tetapi Azizul Kamaluddin merapatkan jurang minit ke-65.
Khairul Anuar Karim menyamakan
kedudukan minit ke-80 sebelum Azmani Kadir menjaringkan gol kemenangan Pahang
lima minit kemudian.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4baXG4cxt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan