Sabtu, 11 Mac 2017

FAM tolak rayuan Terengganu

ARKIB : 10/09/2000
TERENGGANU gagal dalam tuntutannya untuk mendapatkan satu mata daripada perlawanan bola sepak Piala Malaysia menentang Sarawak pada 5 September lalu apabila bantahan terhadap keputusan pengandil ditolak Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, lapor NORZIE KHASBI.

Dalam mesyuarat hampir tiga jam yang diadakan di Wisma FAM semalam, Jawatankuasa Pertandingan yang dipengerusikan oleh Datuk Redzuan Sheikh Ahmad memutuskan bahawa tindakan pengadil, Annuar Abu dalam kumpulan C di Stadium Sarawak adalah wajar.

Pengadil dari Melaka itu menimbulkan kemarahan Terengganu apabila tidak membenarkan jaringan pada masa kecederaan yang dilakukan oleh Ghani Malek menerusi sepakan sudut Zulfakri Ashaari yang sepatutnya menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Sebaliknya, Annuar bukan saja membatalkan jaringan tersebut malah meniupkan wisel penamat sejurus tandukan Ghani dilakukan untuk kemenangan berpihak kepada Sarawak yang memperoleh gol tunggal menerusi bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Nazri Yunos pada minit ke-58.

''Selepas mendengar penjelasan daripada pegawai perlawanan serta pengurus kedua-dua pasukan, kami mendapati tindakan yang diambil oleh pengadil adalah tepat.

''Keputusan perlawanan Piala Malaysia pada 5 September lalu di antara Terengganu dan Sarawak kekal dengan kemenangan berpihak kepada Sarawak 1-0,'' kata Redhuan.

Keputusan FAM itu menyempitkan lagi laluan naib juara Piala Malaysia 1998, Terengganu, untuk melayakkan diri ke suku akhir selepas menerima dua kekalahan termasuk dikejutkan 0-2 oleh Sabah pada 2 September lalu.

Sementara itu, Sarawak pula kekal mendahului kumpulan C dengan sembilan mata, empat mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Johor FC.

Terengganu yang tidak beraksi semalam kini menduduki tangga terakhir kumpulan walaupun berkongsi empat mata dengan Sabah tetapi ketinggalan menerusi perbezaan jaringan.

FAM kebiasaannya hanya akan mengadakan perlawanan ulangan ataupun menukar keputusan sekiranya pasukan terbabit menurunkan pemain yang digantung perlawanan
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b0QrGyix

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan