ARKIB : 04/07/2002
TERENGGANU tidak gentar untuk
berhadapan dengan Johor FC dalam saingan Liga Perdana Satu di Kuala Terengganu
Sabtu ini meskipun ramai pemain utamanya terpaksa direhatkan akibat kecederaan.
Berikutan itu dua pemain skuad
Piala Presiden, Norisham Hassan dan Tengku Alias Ibrahim berjaya mencuri minat
jurulatih Mat Zan Mat Aris untuk mengisi kekosongan itu ketika bertemu Sabah
kelmarin.
Mat Zan yang dihubungi di Kuala
Terengganu, semalam berkata, dia sedikit pun tidak melahirkan kebimbangan
dengan perkembangan itu kerana yakin pasukan pelapis yang dibinanya mampu
menyumbang kemenangan kepada juara Piala Malaysia musim lalu itu.
``Saya puas hati dengan pemain
saya termasuk dua pemain Piala Presiden dan saya mahukan mereka membuktikan
keupayaan sebenar jika mahu terus diserapkan di dalam pasukan,'' katanya.
Antara pemain Terengganu yang
cedera ialah Wan Rohaimi Wan Ismail, Mohd Nafuzi Zain, Fadzialah Mamat dan
pemain import Seidu Issifu.
Mat Zan bagaimanapun tidak
menjelaskan apabila ditanya apakah terdapat pe-main berkenaan yang mungkin
diturunkan ketika bertemu Johor FC nanti.
Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu
berkata dengan kembalinya pemain sensasi Hairudin Omar yang berehat agak lama
selepas dilaporkan sakit sudah pasti mampu menggempur kubu lawan untuk meraih
mata kemenangan.
``Kami akui Johor FC adalah
pasukan yang berwibawa dengan pemain mudanya yang mantap walaupun ianya adalah
sebuah kelab tetapi mereka tidak akan diberikan kemenangan mudah di gelanggang
kami,'' katanya.
Mengenai pertemuan dengan Sabah
kelmarin, dia berkata gol kedua pasukan tuan rumah disebabkan kealpaan pemain
Terengganu yang menyangka bola itu adalah off-side dan peluang itu tidak
disia-siakan oleh pemain Sabah.
``Apa yang saya perhatikan,
pemain Terengganu mempunyai komitmen tinggi dan mereka telah buktikan di Sabah
... cuma saya harap mereka akan tunjukan perkara yang sama di Kuala Terengganu
Sabtu ini,'' katanya. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4cDakI1YV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan