Jumaat, 31 Mac 2017

Terengganu buat kejutan



ARKIB : 25/05/2003
PASUKAN terbawah Perdana Satu, Terengganu mencipta kejutan terbesar apabila mengalahkan Perlis 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Jaringan Alfian Aziz pada minit ke-38. Gol berpunca daripada umpanan Faziallah Mamat yang kemudiannya ditanduk oleh pemain import terbaru skuad Penyu, Ikhogo Figho Charles dari Nigeria sebelum terkena badan Alfian dan masuk ke dalam gawang.

Kemenangan itu bagaimanapun masih mengekalkan Terengganu di tangga terbawah dengan tujuh mata selepas 14 perlawanan.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, Perak diikat 1-1 oleh Telekom Melaka. Walaupun mendahului pada minit ke-54 menerusi jaringan Flavio Rochagalvao, namun Telekom Melaka mendapat sepakan penalti pada minit ke-83 yang disempurnakan oleh Isaac Kuffour.

Kedah merapatkan diri dengan Perak apabila mengalahkan Johor FC 3-1 di Stadium Pasir Gudang.

Kedah mendapat gol jaringan Amirul Nizam Mahathir (10) sebelum menambah dua lagi gol menerusi Zainuddin Md. Ariffin (52) dan John Monie (69). Johor FC mendapat gol menerusi John Angelucci (80).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengutip mata penuh apabila menewaskan Sarawak 3-0.

Gol-gol skuad tuan rumah diperoleh menerusi Rosdin Wasli (22), sepakan penalti Robert Mark Gaspar (69) dan Josiah Seton (minit 78).

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang mengutip tiga lagi mata setelah menumpaskan Melaka 1-0 menerusi jaringan Gustavo Alberto Romero pada minit ke-51 hasil sepakan kencang dari dalam kawasan gol.

Pahang pula mencipta kemenangan bergaya menumpaskan Kelantan 4-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Hairuddin Omar menjaringkan dua gol (47, 63) dua lagi gol disumbangkan oleh Azizul Kamaluddin (52) dan Helton Soeres Pereira (89) untuk menghadiahkan kemenangan keenam skuad Tok Gajah.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cwvKuAvS© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan