Rabu, 22 Mac 2017

Bekalan berharga bagi Terengganu

ARKIB : 11/04/2002
KEMENANGAN 3-0 ke atas Kelantan dalam perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA menyediakan bekalan cukup selesa bagi skuad Terengganu berkunjung ke Kota Bharu, minggu depan.

Malah kemenangan bergaya melalui jaringan Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-8, Mohd Marzuki Yusoff (19) dan Nafuzi Zain (80) seakan memberi laluan mudah kepada skuad juara Piala Malaysia itu mara ke perlawanan suku akhir.

Bagaimanapun, jurulatih Te-rengganu, Mat Zan Mat Aris masih enggan mendabik dada di atas kelebihan tiga jaringan yang dimiliki oleh pasukan bimbingannya.

Sehubungan itu, Mat Zan mengingatkan para pemainnya agar tidak terlalu leka dengan kemenangan, sebaliknya mereka perlu berwaspada dengan strategi dan taktik pasukan Kelantan pada perlawanan kedua nanti.

``Saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi cemerlang masing-masing kerana Kelantan sudah pasti akan bertindak lebih garang untuk memburu kemenangan,'' katanya.

Mengulas perlawanan kelmarin, Mat Zan berkata, beliau berpuas hati terhadap prestasi yang dipamer oleh anak buahnya sehingga mampu menghukum pasukan pelawat dengan tiga jaringan.

Beliau berkata, komitmen para pemain dan peningkatan penjaga gawang, Zubir Ibrahim ketika menyelamatkan beberapa percubaan bahaya oleh penyerang pasukan lawan adalah antara faktor kemenangan Terengganu.

``Saya gembira dengan perkembangan ini dan mengharapkan setiap pemain dapat mengembalikan semula tahap kecemerlangan seperti mana dipamerkan ketika menjuarai Piala Malaysia, musim lalu.

``Apa yang pasti, permainan mereka semakin berkesan dan amat menyakinkan di setiap kali kita tidak menurunkan khidmat pemain import,'' ujar beliau.

Dalam perlawanan kelmarin, Mat Zan langsung tidak menyenaraikan pemain importnya, Seidu Issifu ke dalam skuad Terengganu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4c4a8niG5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan