ARKIB : 26/10/2000
BEKAS jurulatih Kuala Lumpur,
Mat Zan Mat Aris dilantik sebagai jurulatih baru skuad Terengganu untuk
membantu memulihkan kecemerlangan skuad ini di persada bola sepak tanah air,
lapor RADHUAN HUSSAIN.
Pemilihan Mat Zan ini juga
menamatkan desas-desus terhadap jurulatih asing yang turut disebut untuk
membimbing skuad Penyu pada musim Liga Perdana Satu, tahun hadapan.
Keputusan itu diumumkan oleh
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh
pada mesyuarat persatuan berkenaan di Kuala Terengganu, kelmarin.
Katanya kepada pemberita
selepas itu, Mat Zan merupakan antara tiga nama jurulatih yang dikemukakan
kepada PBSNT sebelum ini.
Menurutnya, PBSNT melihat Mat
Zan lebih layak memikul tugas ini kerana pengalamannya membimbing skuad ibu
kota - Kuala Lumpur, sebelum ini.
''Mat Zan untuk membimbing
skuad ini selepas Yunus Alif memohon untuk bertukar ke Pahang, kita juga
berpuas hati dengan kemahuan mereka,'' katanya.
Che Mat menjelaskan, PBSNT kini
menimbangkan permohonan daripada para pemain yang berminat menyertai Terengganu
untuk musim akan datang.
Katanya, PBSNT mengakui
menerima banyak permohonan daripada pemain luar dan yakin dengan kemasukan Mat
Zan ia dapat membantu dalam memilih barisan terbaik skuad Penyu ini.
Bagaimanapun, PBSNT akan
mengutamakan pemain tempatan yang telah menunjukkan kecemerlangan sebelum in.
Mengenai kontrak Yunus Alif
yang tamat pada Disember ini, Che Mat menjelaskan, PBSNT telah bersetuju
permohonan jurulatih itu dan 'melepaskannya' kepada Pahang, sebulan lebih awal
daripada kontraknya.
Katanya, biarpun kontrak Yunus
akan tamat 31 Disember ini mesyuarat telah bersetuju membenarkan beliau memilih
pasukan yang diminati.
''Kita hormati dan akur dengan
keputusan Yunus dan mulai esok (hari ini) beliau boleh memilih pasukan mana
yang disukainya,'' ujarnya.
Menyentuh tentang gaji pemain
yang masih tertunggak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju
menyediakan peruntukan untuk menjelaskan gaji bulan Ogos serta September.
''Semua bonus pemain sudah
dijelaskan dan tunggakan dua bulan itu akan dibayar pada bila-bila masa
sementara bayaran gaji untuk bulan selanjutnya akan dibuat selepas ini.
''Kita juga amat berterima
kasih kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang memahami masalah dialami
pasukan Terengganu musim ini dan bersetuju untuk membantu menyelesaikan masalah
gaji pemain,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4b5jNGZ8j
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan