Ahad, 19 Mac 2017

Terengganu ke suku akhir


 

ARKIB : 03/10/2001
PENYERANG Sabah, Zainizam Marjan (depan) mengawal bola ketika diasak pemain Pulau Pinang, Nordin Khamis (kiri) sambil dibantu K. Sanbagamaran dalam saingan Kumpulan D bola sepak Piala Malaysia di Stadium Penampang, semalam. Sabah menang 1-0. - Gambar GHAZALI BASRI.

TERENGGANU menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut, menewaskan TNB Kelantan 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Pulau Pinang terpaksa menunggu untuk mengikut jejak Terengganu apabila tewas mengejut 1-0 kepada Sabah di Likas.

Terengganu unggul di tempat teratas kumpulan C dengan maksimum 12 mata untuk selesa ke suku akhir dengan penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar menjaringkan hatrik pada minit kesembilan, 53 dan 72 (penalti).

Kekalahan TNB Kelantan membolehkan Perak memintas mereka di tempat kedua kumpulan biarpun mereka berkongsi enam mata.

Perak memiliki kelebihan jaringan selepas menang besar 5-0 ke atas JKR Kelantan di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu.

Gol-gol Perak dijaringkan oleh Mohd. Rafdi Rashid minit kedua, Indra Putra Mahayuddin (18), Khalid Jamlus (26, 35) dan Ahmad Shahrul Azhar Sofian (28).

Pulau Pinang tersungkur di Stadium Penampang menerusi jaringan tunggal Madzalan Emoi yang dihasilkan pada lewat babak pertama.

Aksi dalam Kumpulan A kembali terbuka selepas pendahulu kumpulan, Selangor tewas 4-3 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk si Rusa kembali memintas kedudukan tangga teratas.

Negeri Sembilan sebelum itu mendahului 1-0 menerusi jaringan Effendy Malek minit ke-15 tetapi Yusri Che Lah menyumbat dua gol minit ke-39 dan 43 dan Nizaruddin Yusof menambah gol ketiga minit ke-47 menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan bangkit dengan tiga gol menerusi Shukor Adan (72) dan Azman Adnan yang menyumbang dua gol (80, 89).

Johor FC kini berkongsi tujuh mata dengan Selangor selepas menang bergaya 4-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru.

Gol Johor FC dijaringkan oleh Mustaza Maah Mustafa (15), Hairy Azly Mahamad (78, 87) dan Eddy Helmi Abd. Manan (89) manakala gol tunggal Kuala Lumpur dijaringkan Liew Kim Tu (61).

Perlis turut mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan D selepas menang 3-1 ke atas JKR Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar.

S. Paidiya Rau membuka jaringan minit ke-35 diikuti jaringan Hairil Zambri Rashid (45) dan Badrul Afzan Razali (89) dan gol JKR Kedah hasil jaringan sendiri pemain Perlis, Nazaruddin Mohd. Zin (27).

Pahang merampas kedudukan tangga teratas Kumpulan B selepas menang tipis 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Safri Mokhtar menjaringkan gol pembukaan untuk Pahang pada minit kedua dan Azizul Kamaluddin menambah gol kedua minit ke-58.

Ramles Sari merapatkan jurang dengan gol pertama Sarawak minit ke-84.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bl5VNTtU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan