Sabtu, 18 Mac 2017

Terengganu tersungkur lagi


 

ARKIB : 08/07/2001
PEMAIN Terengganu, Wan Rohaimi Ismail cuba membuat sepakan gunting sambil diasak oleh pertahanan Kelantan, Rosmaini Ismail (no.3) dan Mohd. Saiful Nizam Hussin (no.14) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam. - Gambar ABD. RAHMAN SALEH.

PENDAHULU liga, Terengganu menerima kekalahan kedua berturut-turut pada pusingan kedua Perdana Satu apabila tunduk 2-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Penyerang tuan rumah, Fatrurazi Rozi menjadi pemusnah juara pusingan pertama itu dengan menjaringkan kedua-dua gol minit kelima dan 74 sementara Terengganu membalas menerusi jaringan pemain kebangsaan, Rosdi Talib minit ke-33.

Begitupun, Terengganu masih kekal di tangga teratas berbekalkan kelebihan jaringan biarpun pencabar terdekat, Pulau Pinang turut merakam kemenangan untuk berkongsi 28 mata .

Pulau Pinang berkenduri gol apabila membelasah Kuala Lumpur 5-0 di Stadium Batu Kawan.

Gol-gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Mohd. Farid Shah pada minit ke-29, Moey Kok Hong (38), Mohd. Aiman Wong (62), R. Suresh Kumar (79) dan S. Sutesh (89).

Sementara itu penyandang juara, Selangor mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Pahang dalam bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Darul Makmur, semalam.

Pahang nampak bersemangat bermain di tempat sendiri apabila mendahului pada minit ke-55 menerusi jaringan Iskandar Zulkarnain.

Tetapi, jaringan itu sekadar meningkatkan semangat juang Selangor yang membalas dengan empat gol menerusi Nizaruddin Yusof pada minit ke-58, Bahtiar Othman (74), Mohd. Nizam Jamil (82) dan pemain gantian, Mohd. Amri Yahya (89).

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis garang di gelanggang sendiri untuk menumpaskan Sarawak 1-0.

S. Paidiya Rau menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-43 setelah membuat larian solo dari luar kotak penalti.

Sementara itu di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Johor dan Negeri Sembilan berkongsi satu mata setelah seri 2-2.

Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit ketiga menerusi penyerangnya, Affendi Abd. Malek pada minit ketiga dan keenam. Gol tuan rumah pula jaringan Supian Ibrahim minit ke-54, selepas menerima umpanan pendek rakannya, L. Ragesh dalam kotak penalti lawan.

Johor mencipta gol kedua menerusi Khairul Ismail yang merembat kencang hantaran L. Ragesh pada minit ke-63. Gelanggang sendiri yang berwajah baru jelas memberi kelebihan kepada Melaka yang menewaskan Perak 2-0 di Stadium Kubu.

Melaka yang beraksi di hadapan penyokong sendiri memperoleh jaringan menerusi Rashid Mamud pada minit ke-25 dan Tuan Rosli Tuan Shaari pada minit ke-45.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bg2dZTAQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan