Ahad, 19 Mac 2017

Jangan mudah tertipu


 

ARKIB : 02/11/2001
PARA pemain Terengganu meluangkan masa untuk menandatangani baju T pada sesi bertemu penyokong di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam, menjelang perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia esok. - Gambar ABDUL RAHMAN SALLEH.

Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
TERENGGANU yang tidak akan tertipu dengan taktik pasukan Perak, mengarahkan setiap pemain menggunakan corak permainan pantas dengan terus menggasak ke arah pintu gol lawan sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel bermulanya episod pertama.

Malah formula bermain sambil menyerang dengan menggunakan sistem 4-4-2 sebagai `senjata' utama hasil percaturan jurulatih Mat Zan Mat Aris, dijangka mampu menjelmakan impian sebenar pasukan Penyu untuk membawa pulang Piala Malaysia.

Menurut Mat Zan, sehingga ini anak buahnya semakin bersemangat dan sudah bersedia menunjukkan aksi cemerlang dalam pertemuan dengan Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Mat Zan yang mengakui Perak memiliki sedikit kelebihan dari segi pengalaman, tetap menaruh keyakinan tinggi bahawa pemainnya mampu memikul tanggungjawab dengan bermain secara terbuka iaitu menyerang setiap kali memiliki peluang.

``Saya akui pemain Terengganu masih cetek dari segi pengalaman berbanding Perak yang pernah beraksi pada beberapa kejohanan penting termasuk perlawanan akhir Piala Malaysia.

``Namun saya percaya, kelibat Ahmad Shahrul Azhar, Azrul Amri Burhan, K. Nanthakumar, Khalid Jamlus, Indraputra Mahyuddin, Norizan Ali Hassan dan Rafdi Rashid mampu diikat oleh pemain Terengganu,'' katanya.

Mat Zan berkata, walaupun pasukannya dibarisi banyak pemain muda, tetapi kemampuan mereka semakin menyerlah dengan bantuan pemain berpengalaman seperti Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Sapian Wahid, Zuber Ibrahim, Wan Rohaimi Ismail, Subri Sulong dan Abdul Ghani Malek.

Bagi jurulatih yang berasal dari Kuala Lumpur ini, saat paling mengembirakan ialah apabila kesemua 23 pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan dan mampu diturunkan pada bila-bila masa.

``Ini merupakan berita paling gembira buat saya sebelum kami bertolak ke Kuala Lumpur pagi esok. Kami akan membawa kesemua pemain, sebelum menentukan siapakah 18 pemain yang akan diturunkan nanti.

``Melihat kepada semangat juang yang kental, Saya percaya mereka mampu melakukan permainan terbaik dengan tumpuan kepada dua misi penting iaitu meranapkan impian Perak dan membawa pulang Piala Malaysia,'' ujarnya.

Sebelum membawa pasukannya mara ke peringkat akhir, Mat Zan sebelum ini memulakan rentak cemerlang dengan meletakkan Terengganu menjuarai Piala Sumbangsih, Juara Liga Perdana Satu pusingan pertama dan tempat kedua Liga.

Beliau yang merupakan bekas pemain Kuala Lumpur pernah membantu pasukannya muncul Juara Piala Malaysia sebanyak empat kali.

Bagi pasukan Terengganu, pertemuan dengan Perak merupakan aksi keempat kejayaan bermain di peringkat akhir, bermula tahun 1973, 1982 dan 1998.

Senarai pemain yang kemungkinan diturunkan oleh Terengganu ialah Zuber Ibrahim (pejaga gol), Rosdi Talib, Zulharisham Awang, Abdul Ghani Malek, Norfadzly Alias (pertahanan), Fadziallah Mamat, Subri Sulong, Hairuddin Omar, Ahmad Marzuki Yusoff (Tengah), Wan Rohaimi Ismail dan Sapian Wahid (penyerang).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmoiQBVW © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan