ARKIB : 02/04/2001
KEJAYAAN Terengganu menjuarai
Piala Sumbangsih setelah menumpaskan Perak 4-0 di Stadium Sultan Ismail
Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam kelmarin disifatkan sebagai permulaan
yang baik oleh pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh, lapor MOHD LAZIM ENDUT.
Menurut Che Mat, kemenangan itu
akan memberi perangsang kepada pemain sekali gus menaikkan semula moral mereka
yang sebelum ini diaibkan oleh sebuah pasukan kelab, Johor FC dalam cabaran
Piala FA.
Bagaimanapun Che Mat menasihati
pemainnya agar jangan terlampau ghairah dengan kemenangan itu kerana perjuangan
mereka masih terlalu panjang bagi merebut dua lagi piala yang ada.
``Matlamat untuk mendapatkan
sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini sudah berhasil, tetapi saya harap
dapat memburu piala yang lain,'' katanya selepas perlawanan dengan Perak
kelmarin.
Menurut Che Mat, beliau berpuas
hati dengan persembahan dan prestasi ditunjukkan oleh anak buah Mat Zan Mat
Aris ini kerana semuanya telah bermain bersungguh-sungguh.
``Saya harap mereka kekalkan
semangat ini tanpa memikirkan soal ganjaran. Masih terlalu awal untuk bercakap
soal ganjaran kerana akan membantut semangat dan prestasi pemain.
``Konsep kita ialah `Susah Sama
Susah, Kalau Senang Kita Kecapi Bersama.' Tengoklah akan datang, kalau ada
rezeki kita akan beri,'' ujar beliau.
Sementara itu, jurulatih Penyu,
Mat Zan Mat Aris bagaikan tidak percaya anak buahnya berjaya menumbangkan juara
Piala Malaysia itu dengan jumlah jaringan besar.
Beliau berkata, kemenangan itu
mungkin berpunca daripada rasa kecewa yang di alami ekoran tumpas kepada Johor
FC menerusi agregat 1-3, menyebabkan semangat mereka begitu membara dalam usaha
memburu kejayaan.
Katanya, ini penting memandangkan
harapan penyokong amat tinggi dan kemenangan malam kelmarin barangkali sebagai
bukti yang ingin diperlihatkan kepada para penyokong.
``Apa pun yang berlaku, saya
berpuas hati terhadap persembahan yang dipamerkan. Mereka bermain dalam satu
pasukan dan semuanya telah bekerja keras untuk mencari kemenangan.
``Kehadiran Hairuddin Omar dan
Rosdi Talib juga telah memberi perangsang. Pemain turut menggunakan taktikal
sewaktu mengawal bola, walaupun pada mulanya kita banyak bertahan,'' jelas
beliau.
Mat Zan seterusnya meminta anak
buahnya mengekalkan corak persembahan seperti ini ketika beraksi menentang
Kelantan di Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu, esok.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4bZMuJhFd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan