Ahad, 19 Mac 2017

Paidiya miliki kesungguhan dan berdisiplin

ARKIB : 26/12/2001
JURULATIH Terengganu, Mat Zan Mat Aris berkata, kehadiran bekas penyerang Perlis, S. Paidiya Rao mampu memantapkan lagi barisan serangan skuad Penyu untuk musim baru bola sepak Liga Malaysia yang bermula Januari depan.

Mat Zan berkata, Paidiya, yang pernah dibimbingnya semasa mengendali skuad Kuala Lumpur sebelum jurulatih itu berhijrah ke Terengganu, memiliki kesungguhan tinggi setiap kali berada di padang.

``Komitmennya setiap kali beraksi amat tinggi. Pemain seperti ini harus ada dalam pasukan. Dia amat berdisiplin di padang,'' katanya.

Paidiya tiba di Kuala Terengganu kelmarin dan telah memulakan latihan bersama pemain-pemain lain dalam pasukan itu.

Paidiya, 27, yang pernah bermain untuk Kuala Lumpur, Selangor dan Perlis, bagaimanapun perlu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama Terengganu yang sudah memiliki Sapian Wahid dan Wan Rohaimi Ismail.

``Dia perlu bersaing dengan penyerang sedia ada untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama,'' kata Mat Zan ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Mat Zan berkata, prestasi penyerang Terengganu akan dinilai pada Kejohanan Empat Penjuru di Alor Setar pada 27 hingga 30 Disember ini.

``Kita akan lihat siapa yang akan menjadi teraju utama barisan penyerang Terengganu musim depan,'' katanya.

Mat Zan berkata, dengan kehadiran Paidiya, Terengganu kini mempunyai lima pemain penyerang terdiri Wan Rohaimi Wan Ismail, Sapian Wahid, Nafuzi Zain, S.Paidiya Rao dan Hairuddin Omar.

Terengganu akan mula turun ke padang menentang Selangor dalam pertandingan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 19 Januari tahun depan.

Sasaran Terengganu musim depan ialah mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia disamping mengejar kejuaraan Liga Perdana.

``Kita yakin dapat mempertahankan Piala Sumbangsih kerana bermain di gelanggang sendiri,'' katanya.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bq6Bg5Np

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan