Sabtu, 5 November 2016

Terengganu, Sabah sukar digugat

ARKIB : 02/11/1998
ABDUL RAHMAN IBRAHIM.

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang sudah boleh mencongak strategi paling mantap untuk menghadapi kempen musim depan selepas sisa-sisa perjuangan diranapkan oleh Brunei di Stadium Negara Hasanal Bolkiah, lapor AMRAN MULUP.

Tiada belas ihsan Brunei ke atas Pahang, lawan yang mengetepikan mereka di separuh akhir Piala Malaysia musim lalu apabila berpesta gol menerusi jaringan hattrick Patron Akapo dan dua gol Zannoun Farouk Al-Hassan untuk menafikan peluang skuad Tok Gajah memburu tempat ke separuh akhir.

Pahang menjadi pasukan kedua selepas Kedah tersingkir untuk mengorak langkah memburu tempat ke separuh akhir. Kini kedua-dua pasukan sekadar melengkapkan jadual yang sudah diatur.

Namun begitu kancah saingan semakin rancak selepas mengharungi enam perlawanan perlu menamatkan dua aksi tetapi masih belum ada pasukan yang sudah mengesahkan kemaraan ke separuh akhir apabila kempen terakhir berakhir 14 November ini.

Dalam Kumpulan A, juara Perdana Dua Terengganu diilhamkan oleh jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim terus memperkukuhkan kedudukan hasil kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di gelanggang sendiri.

Dengan 13 mata, kelebihan tiga mata ke atas Negeri Sembilan yang tidak beraksi kelmarin, peluang Terengganu nampak semakin cerah.

Juara Perdana Satu, Pulau Pinang gagal mengambil kesempatan ke atas Kedah ketika beraksi di gelanggang sendiri.

Keputusan seri tanpa jaringan sekadar menyulitkan laluan Pulau Pinang hanya mengumpul tujuh mata berbaki dua perlawanan menentang Kuala Lumpur esok dan perlawanan terakhir menentang Terengganu tiga hari selepas itu di gelanggang sendiri.

Kuala Lumpur yang tunduk 0-2 kepada Terengganu masih mempunyai peluang untuk terus bersaing.

Tiga perlawanan perlu diharungi, jika menang semua perlawanan pastinya peluang skuad warga kota untuk ke separuh akhir adalah cerah.

Skuad warga kota kini memiliki tujuh mata perlu menang ke semua perlawanan iaitu menentang Pulau Pinang esok di gelanggang sendiri. Tiga hari selepas itu bertemu Negeri Sembilan di Paroi dan perlawanan terakhir menentang Kedah di tempat sendiri.

Dalam Kumpulan B pula, naib juara Piala FA musim ini, Sabah seharusnya berterima kasih kepada penyerang import Saphou Lassy.

Dua gol daripada Lassy memastikan Sabah mencapai kemenangan selesa 2-0 ke atas seteru setempat Sarawak bagi memastikan 13 mata menjadi milik untuk terus memperkukuhkan kedudukan ke separuh akhir. Dua perlawanan menjadi penentu buat Sabah yang perlu menang untuk layak ke separuh akhir.

Esok Sabah bertandang ke Stadium Darul Makmur bertemu Pahang, lawan yang sudah tersingkir dan perlawanan terakhir menanti kunjungan Brunei di Likas pada Sabtu.

Semi finalis musim lalu, Brunei yang membelasah Pahang 5-0 kelmarin kian mengekori rapat dan bakal mengulangi pencapaian musim lalu.

Kemenangan selesa itu memastikan Brunei meraih 11 mata dipisahkan dua mata dengan Sabah dan kedua-dua pasukan akan bertarung dalam perlawanan terakhir di Likas Sabtu ini bagi menentukan peluang ke separuh akhir.

Perak yang tidak beraksi memiliki kelebihan tiga permainan dalam tangan dengan tujuh mata, skuad Seladang perlu menang ke semua perlawanan untuk terus bersaing.

Tiada banyak pilihan kepada Sarawak yang tunduk kepada Sabah perlu menewaskan Perak esok bagi menghidupkan perjuangan ke separuh akhir sambil mengharapkan Sabah tewas kepada Pahang

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PBj0xLDu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan