Ahad, 19 Mac 2017

Terengganu pilih pemain tempatan

ARKIB : 29/11/2001
Oleh MOHD. LAZIM ENDUT
KETIKA kebanyakan pasukan negeri semakin ghairah menjejaki tenaga import, juara Piala Malaysia 2001, Terengganu yang lebih berminat mengambil pemain tempatan kini hampir selesai dalam membuat pemilihan para pemain.

Malah pihak pengurusan Penyu menaruh keyakinan tinggi bahawa tanpa kelibat tenaga import, pasukan ini masih mampu mempamerkan aksi menarik dan cemerlang di sepanjang Liga Perdana Malaysia musim hadapan.

Pengurus pasukan Penyu, Datuk Che Mat Jusoh percaya setiap pemainnya akan berusaha untuk menafikan kehadiran dan kelebihan tenaga import yang mewakili sebahagian besar pasukan Liga Perdana Malaysia kali ini.

``Saya percaya setiap pemain Terengganu mampu membuktikan kemampuan masing-masing. Mereka akan terus diterapkan dengan kekuatan semangat yang jitu tanpa mementingkan soal imbuhan atau pun ganjaran.

``Malah saya cukup gembira kerana semangat perjuangan tahun 2001 masih membara ke dalam diri setiap pemain untuk musim hadapan apabila ada pemain veteran menemui saya meminta gajinya diturunkan,'' katanya di Kuala Terengganu semalam.

Kekuatan semangat para pemain Terengganu sama ada dalam bentuk kekeluargaan atau pun perjuangan masih jelas kelihatan dan sebagai contoh tiada seorang pun pemainnya berhijrah ke negeri lain walaupun gagal memperoleh ganjaran lumayan.

Terengganu sebelum ini pernah menolak hasrat dua bekas pemain importnya, Jean Nyima dan Seidu Isiffu yang menyatakan kesediaan bermain untuk pasukan ini dengan bayaran gaji paling minimum.

Menurut Che Mat, setakat ini kesemua pemain pasukan Terengganu termasuk penggempur utama seperti Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail dan Sapian Wahid sedang menjalani latihan ringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Beliau berkata, latihan yang dikendalikan oleh Penolong Jurulatih Mohamad Nik turut disertai oleh tiga pemain dari Kuala Lumpur dan Pahang, yang menyatakan kesediaan untuk menguji nasib dengan pasukan Penyu.

Mereka ialah Rosle Md. Derus, Azali Mat Jusoh (Kuala Lumpur) dan Mohd Rafaie Ali (Pahang). Manakala dua lagi pemain yang bakal berbuat demikian ialah Fareed Shah Hassan (Pulau Pinang) dan seorang pemain berusia 19 tahun yang sedang mewakili pasukan lain.

``Setiap pemain telah mengadakan `Aku Janji' untuk setia dalam meneruskan perjuangan dengan pasukan ini. Lima lagi pemain yang akan dipilih secara rasmi akan berbuat demikian tidak lama lagi.

``Saya berharap setiap pemain akan dapat mengerahkan keringat dan sumbangan yang berterusan bagi menentukan Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih masih kekal di Terengganu,'' ujar beliau.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bpb8oHE5

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan