ARKIB : 10/07/2000
TERENGGANU semakin yakin untuk
melangkah ke Piala Malaysia pada musim ini meskipun berdepan lima lagi
perlawanan dengan impian memburu kemenangan.
Selepas menewaskan Johor dengan
lima gol tanpa balas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin,
Terengganu kelihatan lebih mantap menyusun permainan dalam usaha menambah mata
bagi memperkukuhkan kedudukan.
Terengganu sudah menyelesaikan
17 perlawanan untuk mengumpul 26 mata di tangga keenam Liga Perdana dan diekori
rapat oleh Pahang dengan perbezaan dua mata serta Kuala Lumpur dan Perlis,
masing-masing memungut 24 dan 22 mata.
Juara Piala FA 2000 itu kini
memasuki fasa baru dalam usaha menjarakkan diri daripada tiga pasukan tersebut
bagi mengiringi lima pasukan teratas yang berjuang membolot gelaran juara liga.
Jurulatih Terengganu, Yunus
Alif berkata, Terengganu yakin akan dapat merebut salah satu tempat dalam Piala
Malaysia berdasarkan prestasi pemain yang semakin meningkat.
Menurut beliau, Terengganu akan
berusaha memastikan dapat mengutip mata penuh dalam perlawanan di tempat
sendiri serta menyekat pasukan tuan rumah daripada membolot mata jika menentang
di tempat lawan.
Mengulas mengenai kemenangan
besar dalam perlawanan menentang Johor malam kelmarin, beliau berkata, ia
adalah hasil kecekapan pemain menghidu kelemahan lawan.
Katanya, meskipun beliau
terpaksa menurunkan beberapa pemain yang agak terbatas pergerakannya apabila
belum pulih sepenuhnya daripada beberapa kecederaan, mereka masih mampu
membantu pasukan menghasilkan gol.
''Kecederaan pemain
membimbangkan kita dalam perlawanan malam kelmarin tambahan pula kita tidak
dapat menurunkan Abd. Ghani Malik, manakala Mohd. Amri Shariff pula direhatkan
kerana dilayangkan kad merah ketika menentang Selangor,'' katanya ketika
dihubungi.
Beliau menganggap perlawanan
menentang Pulau Pinang di negeri itu Sabtu ini, sebagai perlawanan ulangan
Piala FA 2000 yang merupakan cabaran besar yang perlu dilalui oleh Terengganu.
Katanya, selain ingin
mengekalkan pada tangga teratas liga, Pulau Pinang tentunya ingin menebus
semula kekalahan mereka ketika menentang Terengganu dalam perlawanan akhir
Piala FA lalu.
''Meskipun perlawanan tidak
diadakan di Stadium Batu Kawan yang menyaksikan kekalahan Pulau Pinang kepada
kita, tentunya mereka mahukan kemenangan bagi menebus kekalahan dan mengekalkan
tempat teratas.
''Namun kita tetap bersedia
kerana dapat menurunkan sepenuhnya pemain termasuk Malik dan Amri selain pemain
yang cedera dijangka pulih daripada kecederaan masing-masing,'' ujar beliau.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4aO5zNRun
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan