Jumaat, 31 Mac 2017

Terengganu buat kejutan



ARKIB : 25/05/2003
PASUKAN terbawah Perdana Satu, Terengganu mencipta kejutan terbesar apabila mengalahkan Perlis 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Jaringan Alfian Aziz pada minit ke-38. Gol berpunca daripada umpanan Faziallah Mamat yang kemudiannya ditanduk oleh pemain import terbaru skuad Penyu, Ikhogo Figho Charles dari Nigeria sebelum terkena badan Alfian dan masuk ke dalam gawang.

Kemenangan itu bagaimanapun masih mengekalkan Terengganu di tangga terbawah dengan tujuh mata selepas 14 perlawanan.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka, Perak diikat 1-1 oleh Telekom Melaka. Walaupun mendahului pada minit ke-54 menerusi jaringan Flavio Rochagalvao, namun Telekom Melaka mendapat sepakan penalti pada minit ke-83 yang disempurnakan oleh Isaac Kuffour.

Kedah merapatkan diri dengan Perak apabila mengalahkan Johor FC 3-1 di Stadium Pasir Gudang.

Kedah mendapat gol jaringan Amirul Nizam Mahathir (10) sebelum menambah dua lagi gol menerusi Zainuddin Md. Ariffin (52) dan John Monie (69). Johor FC mendapat gol menerusi John Angelucci (80).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengutip mata penuh apabila menewaskan Sarawak 3-0.

Gol-gol skuad tuan rumah diperoleh menerusi Rosdin Wasli (22), sepakan penalti Robert Mark Gaspar (69) dan Josiah Seton (minit 78).

Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang mengutip tiga lagi mata setelah menumpaskan Melaka 1-0 menerusi jaringan Gustavo Alberto Romero pada minit ke-51 hasil sepakan kencang dari dalam kawasan gol.

Pahang pula mencipta kemenangan bergaya menumpaskan Kelantan 4-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Hairuddin Omar menjaringkan dua gol (47, 63) dua lagi gol disumbangkan oleh Azizul Kamaluddin (52) dan Helton Soeres Pereira (89) untuk menghadiahkan kemenangan keenam skuad Tok Gajah.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cwvKuAvS© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 Mac 2017

Terengganu bertambah yakin

ARKIB : 02/02/2003
SETELAH mengharungi tiga perlawanan persahabatan dengan keputusan dua menang dan satu seri, pengurusan pasukan Terengganu kini semakin yakin pemain mudanya mampu membuat kejutan menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia, musim ini.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh berkata, kemenangan 3-1 ke atas SKMK Kelantan, menang 1-0 dengan JPS Kelantan dan seri 2-2 dengan TNB Kelantan merupakan suatu perkembangan yang cukup baik.

``Walaupun kita telah kehilangan lima pemain senior yang dikatakan bertaraf bintang, kita tidak khuatir kerana masih mampu melahirkan para pemain baru yang mempunyai corak persembahan setaraf dengan mereka,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Malah Che Mat turut berbangga kerana tiga pemain muda pasukan Penyu turut mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dipanggil bagi menjalani latihan bersama pasukan bawah 21 kebangsaan, tidak lama lagi.

Menurut Che Mat, ketiga-tiga pemain itu yang sebelum ini bermain untuk Piala Presiden ialah Raja Maliki Raja Ayob, Tengku Alias Tengku Ibrahim dan Norhisham Hassan.

``Saya cukup bangga dengan perkembangan ini dan percaya pasukan Terengganu yang berwajah baru pada kali ini tidak akan menjadi sebuah pasukan belasahan.

``Apatah lagi dengan pendekatan corak permainan yang dipamerkan oleh gandingan dua import, Seidu Issifu dan Patron Akakpo semakin memberangsangkan,'' ujarnya.

Malah katanya, beberapa pemain muda yang disenaraikan itu turut memiliki kemahiran ketika mengawal bola serta mampu membuat rembatan kencang ke arah gawang gol lawan.

Beliau berkata, kebanyakan pemain baru yang diserapkan itu didapati semakin bersemangat dan berkeyakinan selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan, hanya dari segi pengalaman sahaja mereka masih kurang.

Sehubungan itu beliau mengharapkan para peminat bola sepak di Terengganu agar dapat memberi sokongan tinggi kepada pasukan di bawah pengendalian jurulatih Tajuddin Noor itu.

Menurut Che Mat, para peminat tidak perlu gelisah dengan ketiadaan lima pemain senior kali ini kerana gandingan pemain muda dengan mereka yang sudah berpengalaman dijangka mampu membuat kejutan.

Beliau berkata, bagi menghadapi persaingan Liga Malaysia tidak lama lagi, setiap pemain juga turut diterapkan dengan persediaan mental melalui ceramah agama, motivasi dan pengetahuan mengenai sistem pemakanan.

``Matlamat kita tahun ini adalah untuk membawa pulang Piala Liga serta meletakkan pasukan ini mara ke peringkat akhir pertandingan Piala Malaysia.

``Membawa pulang Piala Liga merupakan matlamat kita yang telah dirangka dua tahun lalu untuk tempoh sehingga 2003 bagi merangkul semua piala yang dipertandingkan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWQhsH00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 Mac 2017

Krisis bola Terengganu berakhir



ARKIB : 20/11/2002
Oleh JAMDI NASIR
PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) percaya krisis antara pemain dan pengurusan pasukan itu berakhir apabila tiga pemain utamanya Hairuddin Omar, Rosdi Talib dan Subri Sulong dilepaskan.

Keputusan yang dicapai pada mesyuarat ahli jawatankuasa PBSNT yang diadakan di Kuala Terengganu malam semalam itu turut memutuskan memilih Tajuddin Nor sebagai jurulatih baru menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Mat Zan Mat Aris.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, meskipun tanpa tonggak utama, pasukan Penyu masih boleh bernafas dengan senarai pemain lama yang kekal iaitu Zubir Ibrahim, Syamsuri Mustapha, Zulharisham Awang, Ghani Malik, Wan Rohaimi Ismail dan Marzuki Yusof.

Krisis antara pemain dan pengurusan mula timbul selepas beberapa pemain membangkitkan melalui media mendakwa persatuan gagal menjaga kebajikan para pemain.

Ia menyebabkan Hairuddin, Rosdi dan Subri dikatakan enggan menyambung semula kontrak dengan pasukan tersebut untuk berhijrah bersama pasukan Pahang atau Selangor. Manakala Sapian Wahid pula berkemungkinan berhijrah menyertai pasukan Sarawak.

``Kita juga bersetuju mengambil 11 pemain muda termasuk pemain dari Piala Presiden untuk turut membantu mengukuhkan saingan Liga Perdana tahun depan.

Mengenai Tajuddin, beliau memberitahu, bekas jurulatih Perlis itu akan memulakan tugasnya pada 16 Disember ini.

``Buat permulaan Tajuddin akan mengikat kontrak selama dua tahun dan dalam tempoh itu dia diharap dapat membawa Terengganu memasuki pertandingan akhir Piala Malaysia dan juga juara liga,'' katanya.

Beliau berkata, persatuan menganggarkan perbelanjaan untuk Liga Perdana tahun depan sebanyak RM2.5 juta.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cP3MV9Px
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 24 Mac 2017

PBSNT cari pengganti Mat Zan



ARKIB : 03/09/2002


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melepaskan jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris yang akan meninggalkan pasukan itu untuk meneruskan tugas dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tahun depan.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa calon baru untuk mengambil alih tempat Mat Zan.

``Kita amat berterima kasih kepada Mat Zan kerana sumbangannya dalam meletakkan pasukan Terengganu setanding dengan negeri-negeri lain dalam arena bola sepak tanah air,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu telah meminjam Mat Zan, seorang kakitangan DBKL, sebagai jurulatih Terengganu selama dua tahun sejak 2001 dan pada tahun yang sama berjaya membawa Terengganu menjuarai Piala Malaysia.

Kata Abdullah, Mat Zan akan terus membantu dan melatih Terengganu sehingga kontraknya berakhir hujung tahun ini.

Beliau berkata, Terengganu akan memulakan program latihan akhir Oktober ini.

``Kita berharap dapat menyediakan sebuah pasukan mantap untuk mengharungi cabaran musim depan,'' kata Abdullah. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cI9dld9B
© Utusan Melayu (M) Bhd