Khamis, 1 Disember 2016

Terengganu mengganas

ARKIB : 25/04/1999
TERENGGANU 2 - K. LUMPUR 0
TERENGGANU bangkit dengan semangat baru apabila menang selesa 2-0 ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam, lapor MARZITA ABDULLAH.

Terengganu yang membuka langkah dengan baik malam ini walaupun agak sukar mengikut rentak pantas Kuala Lumpur memperolehi gol pembukaan pada minit ke-22 hasil rembatan Mohd Noor Derus.

Jaringan tersebut diperolehi setelah berlaku pergelutan di depan gawang Kuala Lumpur apabila sepakan percuma diberi kepada Terengganu setelah Sapian Abd. Wahid dijatuhkan.

Separuh masa pertama memperlihatkan beberapa cubaan bahaya Kuala Lumpur yang hampir-hampir menghasilkan jaringan seperti pada minit ke-7 cubaan Mohd Fadli Mohd Yusof yang berjaya dipatahkan oleh pertahanan Terengganu.

Kuala Lumpur terus menggasak ke kubu lawan melalui cubaan Mohd Nizaruddin Yusof pada minit ke-29 dan pada saat-saat akhir separuh masa pertama iaitu pada minit ke-44, pengadil perlawanan, Mohd Jamil Zakaria memberikan sepakan percuma kepada pasukan berkenaan.

Sepakan percuma kira-kira 25 meter dari petak penalti itu bagaimanapun gagal disempurnakan oleh Kuala Lumpur apabila sepakan pemainnya terkena palang pintu gol.

Separuh masa kedua memperlihatkan permainan dikuasai oleh Kuala Lumpur dengan asakan-asakan bahaya sementara Terengganu lebih banyak bertahan.

Bagaimanapun Terengganu turut melakukan beberapa serangan dan pada minit ke-51 Sapian Abd. Wahid menjaringkan gol kedua Terengganu melalui hantaran Rosdi Talib.

Separuh masa kedua juga memperlihatkan beberapa serangan bahaya pemain-pemain Terengganu seperti Sapian Wahid pada minit ke-78 dan Anuar Jusoh pada minit ke-82 tetapi gagal mendapat penyudah yang baik.

Kuala Lumpur turut menyerang melalui asakan G.Muthu yang terkena palang pintu gol Terengganu pada minit ke-61 dan minit ke-68.

Kedua-dua pasukan turut menerima kad kuning melalui Wan Ahmad Ridzuan Husin dari Terengganu pada separuh masa pertama dan Azmir Nor Hakim Burhan pada separuh masa kedua.

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Anuar Jusoh, Azman Ismail, A. Ganeson, Mohd. Noor Derus, Abd. Ghani Malik, Rosli Omar, Badrul Hisham Abdullah, Sapian Abd. Wahid, Wan Ahmad Ridzuan Husin (Hairuddin Omar), Rosdi Talib (Subri Sulong).

K. LUMPUR: Kamarul Idham Amiruddin, P. Saravanan, M. Karunakaran, Azlan Hussain, S. Saravanan, Azmir Nor Hakim Burhan (K. Hemadass), Mohd. Nizaruddin Yusof, Mohd. Farid Dewan, M. Eswaran, Mohd. Fadli Mohd. Yusof (G. Muthu), Mohd. Imran Ahmad.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RfAqLo44 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan